Laman Utama
Akibat Kemaruk Seks, James Franco Akui Pernah Tidur Dengan Beberapa Pelajar Sekolah Lakonan Kendaliannya
Bergelut dengan masalah ketagihan seks, pelakon James Franco mengakui pernah tidur dengan beberapa pelajar di sekolah lakonan kendaliannya.
Menerusi petikan The Jess Cagle Podcast yang disiarkan baru-baru ini, James, 43, berkata, perbuatannya itu ternyata salah dan dia tidak menubuhkan sekolah tersebut untuk mengumpan wanita dan meniduri mereka.
“Saya agak pada waktu itu, di kotak fikiran saya, perbuatan tersebut dipersetujui kedua pihak dan ia ok. Ketika itu juga saya tidak berfikir dengan lebih jelas,” katanya.
Kenyataan tersebut merupakan komen lanjutan pertama James mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sekitar empat tahun lalu apabila Los Angeles Times melaporkan bahawa lima wanita telah menuduhnya berkelakuan yang dianggap tidak wajar.
Kemudian, pada Oktober 2019, dua wanita memfailkan saman sivil terhadap pelakon itu, menuduhnya mengeksploitasi calon pelakon di sekolahnya (yang kini telah ditutup) dan memperdaya wanita muda untuk merakam adegan seks.
James menambah, dia mengalami ketagihan seks selepas dia pulih daripada ketagihan alkohol yang dialami pada usia muda.
"Ia adalah ubat (ketagihan seks) yang kuat dan saya ketagih dengan ubat itu selama lebih 20 tahun. Sisi buruknya ialah, saya tidak lagi ketagihan alkohol seperti sebelumnya,” ujar James.
Menurut dokumen yang difailkan di mahkamah atasan Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), James bersetuju untuk membayar AS$2.2 juta (RM9.25 juta) untuk menyelesaikan tuntutan sivil berkenaan.
Dalam wawancara podcast berkenaan, James juga berkata yang dia telah pulih daripada ketagihan seks sejak 2016 dan telah melakukan pelbagai kerja selepas dakwaan terhadapnya itu mengubah siapa dirinya.
"Saya tidak mahu menyakiti orang," katanya.
Must-Watch Video