Pelakon Ezzaty Abdullah berdepan dengan insiden yang tidak diingini selepas kakinya terseliuh serta bengkak akibat lopak di jalan raya.

Kata Ezzaty, 31, dia terjatuh ketika ingin melintas jalan sambil dukung anak perempuannya, Harum Dalia.

"Haritu saya ada penggambaran di kawasan rumah dan Harum ada datang ke set. Saya pun bila nampak dia terus nak dukung masa nak lintas jalan.

"Saya tak perasan ada lopak masa melintas. Nak selamatkan Harum dari cedera, itu yang terjatuh sehinggakan terseliuh. Kaki kanan saya luka, yang sebelah kiri memang bengkak teruk.

"Kebetulan tempat yang saya jatuh tu berdekatan dengan klinik jadi terus pergi sana untuk dapatkan rawatan. Doktor cakap tak ada yang patah jadi hanya cuci luka," katanya ketika dihubungi Gempak.

Tambah pelakon drama The Maid, dia terpaksa menanggung kesakitan sehinggakan tidak dapat bangun untuk ke bilik air bagi mengambil wuduk.

Suaminya, aktor Azwan Kombos merendam kakinya ke dalam baldi yang dipenuhi dengan ais kiub bagi membantu mengurangkan bengkak.

"Hari pertama sakit tu saya masih ada babak untuk diselesaikan. Jadi, saya teruskan macam biasa sebab kesakitan dia masih boleh ditahan (bearable).

"Bila dah balik rumah waktu malam, saya dah tak boleh bangun. Nak ambil wuduk nangis, nak pergi tandas pun, memang sakit sangat. Saya baring saja.

"Azwan sangat membantu, dia google cara nak kurangkan sakit. Dia ambil baldi letak ais kiub kemudian rendam kaki saya selama 20 minit," kata Ezzaty.

Dalam pada itu, anak kelahiran Bentong, Pahang ini meluahkan rasa syukur kerana sudah mampu untuk menjejakkan kaki ke tanah walau terpaksa menggunakan bantuan tongkat.

"Dah masuk hari keempat ini saya dah boleh jejakkan kaki kat atas tanah tapi dengan menggunakan tongkat.

"Alhamdulillah bengkak dah surut kalau nak bandingkan dengan hari pertama.

"Cuma nak solat masih duduk atas kerusi sebab tak boleh nak sujud. Harapnya cepat la sembuh, esok saya dah kena kerja balik.

"Nak taknak penggambaran tetap kena teruskan sebab kita dah sign kontrak," katanya lagi.

A post shared by Ezzaty Abdullah (@ezzatyabdullah)


Terdahulu, Ezzaty dan Azwan berkahwin pada 16 Julai 2016. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan Harum Dalia yang kini berusia empat tahun.

Jangan lupa saksikan The Maid episod istimewa pada hari Rabu, jam 9.30 malam di Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104).

Jika anda terlepas untuk menonton episod terdahulu, anda juga boleh strim di Astro Go dan On Demand dan buat carian The Maid.