Akibat Muat Naik Filem Secara Haram Di Media Sosial, Produser Munafik 2 Ambil Tindakan Mahkamah

Elrafaei Sapi
Oktober 13, 2018 05:18 MYT
Pengarah Urusan Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam bersama anaknya, Syamsul bertindak mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang memuat naik filem Munafik 2 di media sosial.
Dua beranak itu tampil mengadakan sidang media Skop Productions Ambil Tindakan Drastik Pelanggaran Hak Cipta Filem Munafik 2 yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Hulu Kelang, Selangor semalam untuk menjelaskan tindakan tersebut.
Merujuk pada status yang dikongsi menerusi akaun Instagram, @finasmalaysia memaklumkan produser filem tersebut mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memuat naik ('upload') filem itu di Facebook dan Instagram.
"Filem tersebut kemudiannya telah tersebar luas dan dikongsi hingga beberapa laman media sosial untuk tontonan umum.
"Pihak Skop Productions Sdn Bhd juga telah membuat aduan ini kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut disamping satu guaman sivil dan permohonan injuksi turut difailkan terhadap pihak yang terbabit.
"Jika disabit kesalahan pihak terbabit boleh dituduh di bawah kesalahan Seksyen 41 (1) Akta Hak Cipta 1987, kerana memiliki salinan karya-karya hakcipta yang telah dibuat dan/atau diterbitkan semula tanpa pemberikuasaan, persetujuaan atau kebenaran oleh pemilik hakcipta," katanya.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah pelakon filem itu terdiri daripada Mawi, Fauzi Nawawi dan Nasir Bilal Khan.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
#Syamsul Yusof #Munafik 2 #Yusof Haslam