Enggan terus dibelenggu kesepian, penyanyi Akim Ahmad dan Stacy menerusi syarikat rakaman mereka, Rhythm & Rhyme Entertainment menubuhkan kumpulan Dunya.

Akim berkata, band Dunya ditubuhkan hasil cetusan idea vokalisnya, Sharul yang juga bekas peserta program Akademi Fantasia 2015.

“Dunya ditubuhkan atas keinginan Sharul untuk bergerak dengan band. Jadi, saya dan Stacy bersetuju dan suka dengan keputusan itu.

“Kami pun cuba dapatkan ahli kumpulan lain, malah mereka gembira apabila dapat tahu vokalisnya ialah Sharul. Nama kumpulan hasil cetusan Stacy. Lama juga fikir nama kumpulan,” kata Akim.

Tambah Akim, kumpulan Dunya lebih kepada genre Pop Rock dan single pertama mereka ‘Kuala Lumpuh’ bergenre sama.

Ia merupakan ciptaan bersama Hang Nadim, Bunga Cantik dan Amin serta lirik oleh Bunga Cantik.

“Dunya baharu saja melancarkan single ‘Kuala Lumpuh’ pada 17 September lalu. Lirik lagu ‘Kuala Lumpuh’ ini cetusan daripada Bunga Cantik, ketika sepanjang hampir dua tahun kita semua melalui fasa pandemik Covid-19.

“Sebagai orang yang melihat proses penulisan lagu ini, saya berasakan sangat teruja dan gembira dapat bekerjasama dengan Bunga Cantik. Dia mempunyai idea yang dasyat,” katanya.

Menurut Akim, dia juga mempunyai rancangan masa panjang buat Dunya selain mahu menerbitkan album buat mereka.

“Perancangan akan datang untuk Dunya, kita merancang untuk proses rakaman lagu lain dan sedang kumpul material. Insya-Allah jika ada rezeki dan mudah-mudahan dapat terbitkan album untuk mereka.

“Harapan saya semoga perjalanan Dunya ini lebih jauh dan diterima baik oleh semua peminat muzik tempatan.

“Semoga kemunculan single pertama mereka juga mampu memperkenalkan Dunya kepada penggemar muzik tempatan,” katanya.

Sementara itu, Sharul Kamal berkata idea untuk bergerak secara berkumpulan sudah lama dan tidak menjangka ia disambut baik oleh Stacy dan Akim.

“Idea nak menubuhkan band ini sudah lama. Saya memang teringin nak buat persembahan atas pentas bersama band. Sebab sebelum ini saya pernah ikut Drama Band dan Akim & The Majistret menjadi kru.

“Jadi banyak saya belajar mengenai band. Dari situ saya mengumpul segala semangat dan ilmu daripada mereka selama beberapa tahun untuk saya nak menubuhkan band.

“Cuma sebelum ini masa tak sesuai dan rezeki pun belum sampai. Alhamdulillah, Allah kabulkan permintaan saya tahun lepas.

“Ketika berjumpa Stacy, saya cakap nak buat sesuatu yang baru. Lagi pula saya sudah bergerak solo lebih kurang enam tahun sejak keluar AF2015.

“Jadi saya berasakan kena buat sesuatu yang lain. Bukan saja konsep, tapi dari segi muzik yang nak dibawa juga kena baru. Itu yang tercetusnya idea nak menubuhkan band Dunya,” katanya.