TERKINI

Aksi 'Drift' Di Parkir Stadium Batu Kawan, Pempengaruh Tiktok Ditahan

Gempak 07/07/2025 | 21:55 MYT

Polis menahan seorang pempengaruh TikTok kerana disyaki memandu secara berbahaya dengan melakukan aksi "drift" di kawasan tempat letak kenderaan Stadium Batu Kawan, Pulang Pinang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPS pada 12.20 tengah malam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan keselamatan orang lain dan semakan mendapati lelaki tersebut pernah ditahan di bawah seksyen sama sebelum ini.

"Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja melanggar undang-undang malah turut membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak melakukan sebarang aksi berbahaya yang boleh mengundang risiko kemalangan.

Sumber: Astro AWANI Menerusi BERNAMA
#TikTok #Pempengaruh #Aksi Drift