Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Aksi Mesra Peluk Yazmin Aziz, Danial Chuer Terima Teguran Ridhuan Tee - "Kalau Betul Ia Salah Di Mata Orang, Saya Terima"

Izwan Isa
04/04/2022 04:50 MYT
Pemenang tempat kedua Big Stage 2022, Danial Chuer menyambut baik teguran profesor Pusat Pengajian Teras (PPT) Universiti Sultan Abdidin, Ridhuan Tee terhadap rakaman aksi mesranya bersama penyanyi Yazmin Aziz yang dikongsi di TikTok baru-baru ini.

Danial berkata, dia melihat teguran itu sebagai satu ingatan dan berterima kasih kerana masih ada yang sudi untuk memperbetulkan kekhilafan yang dilakukannya.

“Saya terima teguran berkenaan dengan hati terbuka. Kalau betul benda tu salah di mata orang, saya akan terima. Saya akan tengok balik dan cuba untuk tidak melakukan hal-hal sedemikian pada masa akan datang.

“Tambahan pula, sekarang bulan Ramadan, jadi saya tidak mahulah hal-hal yang tidak berkaitan lalu di timeline masing-masing,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Danial menambah, teguran yang diberikan oleh Ridhuan dan juga netizen memberikan peringatan kepada dirinya untuk lebih berhati-hati, sementelah nama mula dikenali selepas tamat program Big Stage 2022.

“Kami memang rapat antara satu sama lain, tetapi perkara ini sedikit sebanyak menjadi peringatan kepada kami untuk selalu menjaga kelakuan. Tambahan pula lepas habis Big Stage 2022, semua orang ikuti perkembangan kita.

“Selain itu, saya pun tidak terasa hati dengan teguran berkenaan. Malahan saya bersyukur ada yang sudi menegur. Lebih baik ditegur daripada orang tak nasihat apa-apa. At least kita tahu salah kita apa.

“Saya pun sedar yang hal ini salah. Sebagai orang Islam, kami tidak mahu perkara sebegini terjadi lagi,” katanya yang turut menerima teguran yang serupa daripada keluarganya.

Terdahulu, viral di laman TikTok apabila peserta Big Stage 2022, Yazmin Aziz memuat naik beberapa aksi berpelukan antara dirinya dan Danial. Aksi berkenaan mendapat kritikan dalam kalangan netizen, selain teguran oleh Ridhuan Tee.

#Viral #Peluk #TikTok #Yazmin Aziz #Ridhuan Tee #Chuer #'Danial
;