Episod lima drama premium Projek: Anchor SPM yang ditayangkan Isnin lalu boleh disifatkan antara yang paling romantik dan sarat dengan elemen percintaan.

Semuanya gara-gara kisah cinta antara Aizat lakonan Aedy Asrah dan Aaida (Daiyan Trisha) yang dilihat semakin rapat.

Namun, dalam episod lima, watak Jaja (Shasha Abedul) juga akhirnya menemui cinta baru yang lebih secocok dengannya.

Siapa sangka, Jaja akhirnya sesuai dipadankan dengan Botol lakonan Chubb-E.

Menerusi pemantaun Gempak di Twitter, ada penonton yang terkejut dengan babak cinta tersebut, namun ramai juga yang sudah menjangkakan hubungan dua watak berkenaan.

“Weh serius lah Jaja dengan Botol, tapi cocok juga diorang ni”

“Aku dah agak dah Jaja ni sesuai dengan Botol, comel”

“Macam mana aku boleh terlepas pandang ni, Botol memang baik dengan Jaja selama ni, Jaja je tak perasan semua tu,” tulis beberapa netizen.


Jika anda ternanti-nanti apakah yang akan berlaku minggu depan, jangan lupa saksikan Projek: Anchor SPM setiap Isnin jam 9 malam di Astro Citra.

Sebagai alternatif, anda juga boleh tonton Projek: Anchor SPM platform Astro GO atau On Demand.

Sekadar info, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM.

Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.