Penyanyi dan komposer Altimet menerusi hantaran di laman sosial Instagram (IG) meluahkan rasa penat apabila terpaksa menempuhi fasa hidup yang sukar akibat pandemik Covid-19.

Luahan tersebut dibuat Altimet mewakili suara rakyat yang cuba menghantar mesej kepada golongan atasan.

Bagaimanapun Altimet berkata, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dia harus patuh kepada saranan kerajaan supaya patuh kepada SOP.

“Aku dah penat. Kami dah penat. Setahun lebih kami ikut peraturan. Kehendak peribadi letak tepi, utk kebaikan semua, jadi negara kita ni pulih balik, kalahkan pandemik ni,” katanya.

Altimet turut meluahkan rasa terkilan apabila terpaksa melihat situasi anak-anak yang perkembangan sosial mereka terbantut akibat Covid-19.

“Aku penat nak bgtau kat anak aku pasal virus ni, musuh yang tak dapat dilihat ni. Aku penat nak jelaskan kat dia kenapa dia tak dapat main dengan sedara dia, kawan-kawan dia.

“Aku kesiankan anak-anak aku sbb perkembangan sosial & persahabatan diorang terbantut akibat tak pegi sekolah,” luahnya.

Selain itu Altimet turut bersedih kerana terpaksa menanggung kerugian dalam perniagaan dan melihat kawan-kawan lain kehilangan kerja.

“Aku dah penat tanggung kerugian bisnes aku.

“Aku tak sanggup tutup sebab berapa ramai kawan-kawan aku kena lepaskan jadi penganggur. Aku dah penat beli barang niagaan kawan kawan industri hiburan, yang terpaksa berniaga sebab takde job.

“Aku harap, orang atasan tahu yang aku ni kepenatan. Aku harap orang atasan tau, bukan Aku sorang yang kepenatan, tapi kami tetap ikut saranan & SOP yang ditetapkan. Walaupun kami penat. #KitaJagaKita kan? Bismillah,” tulisnya.