"Aku Janji Mak, Aku Akan Selalu Buat Mak Bahagia Dan Bangga Di Alam Sana" - Aeril Zafrel Merindui Ibu

Badrul Hashim
Mei 10, 2020 02:45 MYT
Setiap insan pasti merindui ibu masing-masing setiap ketika, apatah lagi untuk mereka yang sudah pergi mengadap Illahi.
Walaupun perasaan itu wujud setiap masa, pastinya lebih mendalam apabila tiba Hari Ibu yang disambut di seluruh dunia dengan hampir semua orang menyatakan sesuatu buat ibu kesayangan.
Dalam satu entri di Instagramnya, pelakon kacak Aeril Zafrel turut berkongsi sekeping gambar ibunya yang agak samar-samar.
"Jika hari ini, mampu kudirikan emas permata dan zamrud ya'qud setinggi dirimu, sungguh tak kan pernah sama nilainya dengan cinta kasih, jasa bakti dan pengorbananmu. Rindu ini entah bagaimanalah... mahu diungkap.
"Tapi aku yakin mak, Tuhan sudah pun menjawab setiap doa dan harapan yang selalu mak panjatkan padaNya dulu. Meski semuanya itu tak dapat kukongsikan pada mak, namun aku percaya mak ada selalu menatap aku dari jauh," tulis Aeril penuh syahdu.
Tambah Aeril, dia kini bahagia dan penuh dengan rasa cinta bersama isteri dan cahaya mata sepertimana yang pernah diajar oleh ibu tentang makna kasih sayang pada ayah dulu.
"Aku janji mak, aku kan selalu membuat mak bahagia dan 'bangga' di alam sana. Semoga Tuhan istiqomahkan aku di 'jalan keindahan' ini untuk menitip mahligai buat mak dan ayah di sana.
"Nanti bila tiba masanya anakmu 'pulang' bisa masuk ke mahligai itu pula. Mudah-mudahan ALLAH izinkan aku menjadi anak yang 'berkhidmat' padamu dari dunia hingga ke surga!" tulis Aeril lagi.
Aeril Zafrel berkahwin dengan pelakon Wawa Zainal pada tahun 2013 dan kini dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata.
#Aeril Zafrel #Hari Ibu #Ibu