BERITA

“Aku Mungkin Tak Sempurna Dan Pernah Gagal Dalam Melayari Bahtera...”- Fitri Haris Rasa Sudah Lengkap

Syafiqah Jalal 24/12/2019 | 07:09 MYT
Penyanyi Fitri Haris bersyukur kerana merasakan keluarganya kini sudah lengkap selepas mengahwini pengurusnya sendiri iaitu Fazilah Omar, 32, baru-baru ini.

Fitri yang juga merupakan juara program realiti Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2) itu berharap perkahwinan kali ini akan kekal selamanya selepas gagal dalam perkahwinan sebelum ini.

BACA: "Selama Ini Saya Buta Sebab Dia Ada Saja Di Depan Mata .." - Tamatkan Zaman Duda, Fitri Haris Kahwin Pengurus Sendiri

“Alhamdulillah, lengkap sudah keluarga kami. Macam ‘happy meal’ pula seorang laki seorang perempuan.

”Syukur atas nikmat ini, aku mungkin tidak sempurna dan pernah gagal dalam melayari bahtera. Moga ini hikmah terindah dan kekal selamanya,” tulisnya.

Bekas ahli kumpulan UNIC itu berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.

Menerusi entri tersebut dia memuat naik fotonya bersama isteri dan anak serta anak tirinya.

Tambah Fitri lagi, dia gembira menerima anak ‘segera’ dalam keluarganya.

“Buat anakanda Rayyan, Abi akan cuba sedaya menjalankan tanggungjawab sebaiknya.

“Buat anakanda Sofea, always my baby. Now Abi ada dua babies. Alhamdulilah boleh buat kawan.

“Buat U (isteri), hurmm hurmm x tahu nak type apa...tersengih-sengih je nak type. Tak apa lah, hanya tuhan yang tahu,” katanya lagi.

Fitri sebelum ini merahsiakan tarikh pernikahan yang diadakan secara tertutup baru-baru ini.

Pasangan ini baru sahaja diraikan dalam satu majlis bersanding di Hotel Dorsett, Kuala Lumpur pada 21 Disember lalu.

Terdahulu, Fitri memiliki seorang isteri sebelum bernikah seorang lagi di Songkhla, Thailand pada 12 Mei 2009.

Bagaimanapun, hubungan itu tidak bertahan lama apabila dia bercerai dengan isteri pertama sebulan selepas berkahwin dengan isteri kedua.

Kemudian dia bercerai pula dengan isteri kedua, dua minggu selepas itu.

Pada 9 September 2012, Fitri berkahwin kali ketiga namun perkahwinan itu juga berakhir dengan perceraian.

Bekas anggota kumpulan nasyid UNIC ini mempunyai seorang anak bernama Sofea Solehah, 15, yang menetap bersama bekas isteri di Singapura.

Selain itu, Fazilah sendiri sudah empat tahun bersendirian dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Qhalish Rayyan Adam yang kini berusia sembilan tahun.
#Kahwin #Anak #Kahwin #Fitri Haris