"Aku Tahu Rezeki Orang Ada Dalam Rezekiku" - Ini Luahan Aznil Nawawi

Rozaimi Zubaidi
April 4, 2019 13:15 MYT
Pengacara Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali Pak Nil menyeru orang ramai supaya membantu insan yang sentiasa memerulukan.
Menerusi entri di Instagram (IG), Aznil berharap agar program Mikrofon Impian akan diteruskan supaya lebih ramai insan dapat dibantu.
"Ya Allah berikanlah aku rezeki melimpah ruah. Aku ingin kongsikan dengan insan-insan seperti ini.
"Aku tahu rezeki orang ada dalam rezeki ku. Paknil seru sangat untuk anda terus memberi sokongan kepada program #mikrofonimpian ini.
"Biar panjang hayatnya dan lebih ramai boleh dibantu. Jangan kata yang kalah pulang tangan kosong. Kita boleh lagi bantu mereka di www.maybankheart.com," tulisnya.
Rata-rata berharap agar program ini akan diteruskan untuk musim seterusnya.
Program Mikrofon Impian diterajui Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali Pak Nil sebagai hos dan menampilkan tiga juri tetap iaitu Fauziah Latiff, Azmi Saat dan Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali yang akan mengadili para peserta.
Dua peserta akan berentap dalam pusingan kalah mati untuk setiap episod dan mereka diminta menjelaskan situasi kewangan sebelum menyanyikan lagu pilihan masing-masing di hadapan juri.
Masyarakat yang prihatin boleh turut membantu dengan menyumbang secara ikhlas kepada peserta yang memerlukan sekiranya mereka gagal memenangi sebarang wang kemenangan menerusi platform MaybankHeart.
Mikrofon Impian dibawakan oleh Chatime Malaysia bersiaran setiap hari Ahad, jam 9.00 malam menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
#Pengacara #Aznil Nawawi #Pak Nil