Kontroversi rumah tangga pelakon Nadia Brian terus hangat apabila suaminya Muizz Nasruddin tampil menepis kenyataan isterinya yang ingin mendedahkan kerenahnya kepada umum.

Menurut Muizz selama berkahwin tidak sampai tempoh setahun itu dia memberi kesenangan dan kebebasan kepada Nadia untuk melakukan apa yang disukainya termasuk berkerja atau berkawan.

“Kerenah? Aku tak pernah paksa kau masak, cuci baju, bersihkan rumah sebab orang gaji sudah disediakan.

“Aku tak pernah halang dan paksa kau untuk bekerja. Aku tak pernah halang kau berkawan dan berkasar dengan kau. Jadi apa yang kau derita sangat?,” tulisnya.

Muizz berkongsi perkara tersebut di Instagram (IG) Story miliknya.

Muizz juga memberitahu sepanjang perkahwinan mereka dia telah menunaikan segala tuntutan nafkah mengikut kemampuannya.

“Aku hanya tak mampu hadiahkan kau rumah dan memenuhi kehendak kau buat masa sekarang ini.

“Sekarang ini ialah waktu sukar kerana keadaan ekonomi yang teruk. Adakah ini alasan untuk semua perkara buruk yang telah kau lakukan kepada aku?,” ujarnya lagi.

Tambah Muizz, apa yang dia lakukan selama ni bukan semata-mata mahu popular.

“Populariti tidak dapat membayar bil saya. Saya juga tidak buat reviu untuk dapatkan duit atau gelek punggung untuk menagih perhatian dalam TikTok.

“Saya tidak dapat apa-apa hasil daripada masalah ini. Tolong hentikan bercakap perkara bohong tentang saya. Jadi saya akan berhenti sebarkan kebenaran tentang kau,” katanya.

Terdahulu, pergolakan rumah tangga pasangan tersebut hangat diperkatakan sejak Oktober lalu.

Lebih mencetuskan tanda tanya, Muizz turut mendedahkan Nadia berlaku curang terhadapnya bersama dua lelaki lain.

Nadia dan Muizz yang juga seorang ahli perniagaan mendirikan rumah tangga pada 9 November 2019.