Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Akui Pernah Bersama Dengan Seseorang Yang Toksik, Syafie Naswip Kini Lebih Bahagia

Izwan Isa
05/05/2022 01:50 MYT
Pelakon Syafie Naswip meminta agar diberikan sedikit masa bagi mengubati lara jiwanya selepas melalui episod yang kurang enak bersama bekas tunang beberapa tahun lalu.

Syafie, 30, berkata, dia berasa bersyukur kerana terlepas daripada situasi toksik berkenaan dan kini lebih bahagia dengan rakan-rakan dan ahli keluarga.

“Saya pernah sayangkan seseorang, saya pernah jaga hubungan itu baik-baik tetapi jodoh tidak panjang. Alhamdulillah saya berjaya keluar dari cengkaman hidup seseorang yang hidupnya begitu negatif, begitu toksik yang secara tidak langsung membuatkan hidup saya huru hara.

“Saya gembira dengan kehidupan ketika ini, dikelilingi kawan-kawan dan keluarga. Jadi apabila diajukan mengenai soal kahwin, jawapan saya adalah berikan saya masa.

“Ini kerana saya melalui zon atau fasa trauma dalam hidup saya. Apa yang anda baca atau apa yang anda faham tidak sama dengan apa yang sama lalui”, katanya.

Syafie membuat luahan perasaan berkenaan menerusi perkongsian video di TikTok miliknya baru-baru ini.

Pada Julai 2019, kontroversi melibatkan Syafie dan bekas tunangnya, Aishah Azman diperkatakan umum apabila Syafie ditahan polis bagi membantu siasatan kes ugutan dan menyebabkan kecederaan.

Syafie dan Aishah bertunang pada 7 April 2019 dan hubungan mereka berakhir pada 21 Julai tahun yang sama.

Untuk rekod, nama Syafie mula dikenali menerusi filem Mukhsin pada tahun 2007, ketika itu pengarah Allahyarham Yasmin Ahmad menjadi pendorong untuk dia berada dalam industri seni.

#Cinta #Tunang #Syafie Naswip
;