Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

“Alam Apa Yang Kita Saksikan Ketika Tonton Tarian Kuda Kepang?" - Pertunjukan Cahaya 004 Kitab Basah Temui Penonton Disember Ini!

Hanafis Haris 21/11/2021 | 04:16 MYT

Selepas menerima sambutan menggalakkan sebelum ini, siri pertunjukan cahaya kini kembali dengan persembahan terbaharu.

Dianjurkan oleh Senilab dan 33.3™ serta berkolaborasi pula bersama Pusaka dan Kumpulan Kuda Kepang Parit Raja, pertunjukan cahaya berjudul ‘CAHAYA 004 – KITAB BASAH dijadualkan menemui penonton pada bulan Disember ini.

Menurut wakil daripada Senilab, Taufiq Kamal, misi utama bagi CAHAYA 004 - KITAB BASAH adalah untuk mengekalkan warisan tradisi, sejarah dan budaya tempatan melalui tafsiran sonik dan visual.

“Ini adalah cara kami menarik perhatian golongan muda supaya mereka lebih prihatin terhadap kepelbagaian budaya yang kaya di Malaysia, terutamanya kepada amalan seni yang semakin dilupakan.

“Menerusi gabungan persembahan Kuda Kepang yang tak lapuk ditelan zaman bersama interpretasi unik kami yang menampilkan bunyi-bunyian moden dan persembahan cahaya.

“Kami berharap usaha ini dapat melahirkan sesuatu yang bukan sahaja sukar dilupakan, namun dapat mengilhamkan inspirasi kepada generasi baru dan pihak-pihak yang relevan agar mereka sedar peri pentingnya untuk kita mengekalkan warisan seni dan budaya tempatan.” katanya.

Sementara itu, menurut wakil agensi 33.3™ Zulamran Hilmi, pihaknya mahu menonjolkan tarikan enigma Kuda Kepang yang mewakili kekuatan, ketangkasan dan keanggunan menerusi pergerakan tarian yang ditonjolkan oleh penari-penari Kuda Kepang itu sendiri.

Menurut Zulamran Hilmi, CAHAYA 004 - KITAB telah direka secara spesifik supaya penonton dapat menghayati dan menyelami persembahan itu sepenuhnya.

“Seperti penari Kuda Kepang yang bagaikan disentuh oleh ‘isim’ atau semangat lain ketika mereka menari, penonton juga perlu membuka hati dan minda mereka kepada perubahan yang mungkin mereka dapat rasakan selepas menonton persembahan ini.

“Penyertaan kumpulan Kuda Kepang Parit Raja di dalam CAHAYA 004 – KITAB BASAH ini menjadi realiti melalui bantuan Pusaka yang merupakan penggerak utama di dalam gerakan seni tradisional di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, wakil daripada Pusaka, Pauline Fan menegaskan bahawa persembahan Kuda Kepang yang bakal berlangsung Disember ini akan menerokai dunia ghaib .

“Kerana pengalaman tersebut adalah seakan-akan pengembaraan singkat ke dunia kayangan yang sering diperkatakan di dalam mitos, imaginasi dan mimpi kita.

“Penonton bukan sahaja mempunyai peranan sebagai pemerhati persembahan tetapi juga memainkan peranan yang penting di dalam persembahan ini kerana kehadiran dunia ghaib hanya dapat disahkan jika ianya dapat ‘dilihat’ melalui mata kita sendiri.

“Alam apa yang kita saksikan ketika menonton tarian Kuda Kepang? Adakah ianya alam nyata atau tidak nyata atau alam pertengahan yang menghubungkan kedua-duanya sekali?

“Penceritaan kami ini mengalir seakan air, dan dibentuk mengikut pemahaman subjektif sesiapa yang menontonnya. Itulah sebab kenapa persembahan ini dinamakan KITAB BASAH,” katanya.

Sekadar info, persembahan Kuda Kepang ini akan berlangsung pada 18 Disember 2021 di Black Box Publika, jam 2 petang dan 8 malam.

Tiga DJ yang berbakat daripada Kuala Lumpur Taufiq, Zulamran dan juga Shfq akan turut memeriahkan acara ini.

Instalasi cahaya dan seni pula akan dipamerkan di G3, West Entrance Black Bridge, dari 19 Disember sehingga 31 Disember 2021.

Semua yang hadir [erlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), penggunaan pelitup muka, amalan sanitasi tangan dan pengambilan suhu akan dikuatkuasakan untuk semua pengunjung yang memasuki ruang persembahan semasa acara ini berlangsung.

Acara ini juga hanya dibuka kepada pengunjung-pengunjung yang mempunyai vaksinasi lengkap.

Acara ini turut disokong oleh MyCreative Ventures, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kewangan melalui inisiatif Penjana yang bertujuan untuk menghidupkan kembali ekonomi kreatif Malaysia.

#Cahaya004 #KitabBasah #KudaKepang
;