Belum sempat menikmati kandungan ditawarkan Disney Plus, pengguna platform penstriman terbaru itu terpaksa menanggung masalah besar apabila akaun mereka digodam.

Malah, jumlah pengguna yang terjejas bukan sedikit sebaliknya mencecah sehingga 10 juta pengguna.

Difahamkan, pengguna mula melaporkan masalah ini apabila mereka gagal untuk untuk log masuk ke akaun masing-masing.

Lebih teruk lagi apabila terdapat dakwaan media luar menyatakan akaun berkenaan telah dijual pada laman dark web lebih murah berbanding harga langganan asal.

Sementara itu laporan BBC mendedahkan masalah penggodaman itu mungkin disebabkan penggunaan kata laluan yang sama untuk pelbagai laman web.

Buat masa ini pihak Disney masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung masalah ini.

Untuk makluman, Disney Plus merupakan platform penstriman terbaru dikeluarkan oleh pihak Disney dan telah mula dilancarkan 12 November lalu.

Sama seperti Netflix, Disney Plus akan menawarkan kandungan eksklusif khususnya yang diterbitkan di bawah Disney, Pixar, francais Star Wars, Marvel Cinematic Universe (MCU).