Sebanyak 5,291 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 mencecah 2,486,630 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, maklumat terperinci akan dimuat naik ke laman CovidNow https://t.co/aIQttvCbIP.

“Data setiap hari bagi laman CovidNow adalah dikemas kini sekali gus selepas tengah malam,” menurut ciapan Twitter beliau pada Rabu.

Dalam perkembangan lain Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 351,114 dos penggalak telah diberikan sehingga Isnin di seluruh negara.

KKM berkata, keutamaan dos penggalak ketika ini ialah petugas barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan) serta warga emas.

“Untuk warga emas, tarikh janji temu akan diberikan melalui MySejahtera atau panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Penerima yang layak akan menerima dos penggalak di hospital atau klinik swasta yang telah dilantik KKM melalui Protecth Health Corporation,” katanya di laman Facebook.