Alamak! Pesawat Terlalu Berat Nak Berlepas, Terpaksa Tinggalkan Penumpang Di Landasan
Awani
09/07/2023 14:27 MYT
09/07/2023 14:27 MYT
Sebuah pesawat penumpang Britain terpaksa meninggalkan 19 penumpang di landasan selepas didapati terlalu berat untuk berlepas dengan selamat.
Dalam kejadian yang jarang berlaku itu, pesawat EasyJet dari Lanzarote ke Liverpool melepasi syarat berat selamat untuk berlepas.
Disebakan hal itu, juruterbang sekali gus terpaksa meminta sejumlah penumpang untuk turun dari pesawat secara sukarela.
Menurut laporan media tempatan, penerbangan dari Lapangan Terbang Lanzarote di Sepanyol ke Lapangan Terbang John Lennon di Liverpool itu sepatutnya berlepas pada jam 9.45 malam (waktu tempatan) pada Rabu, namun ditangguhkan kerana masalah itu
Juruterbang memaklumkan tiga masalah utama yang menjadi punca kepada kelewatan penerbangan pesawat itu adalah berat, landasan pendek, serta keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Juruterbang kemudian mencadangkan langkah untuk meringankan pesawat di mana dia meminta kira-kira 20 penumpang untuk secara sukarela meninggalkan pesawat dengan insentif €500 (kira-kira RM2,560).
“Jika boleh, saya ingin meminta sehingga 20 penumpang secara sukarela memilih untuk tidak terbang ke Liverpool malam ini.
“Insentif akan diberikan jika ada yang setuju secara sukarela.
"Jumlah yang dinyatakan oleh Easyjet adalah sehingga €500 bagi setiap penumpang yang sanggup tidak terbang malam ini," jelas juruterbang itu lagi.
Setelah beberapa ketika, akhirnya seramai 19 penumpang bersetuju untuk turun dari pesawat dan masuk semula ke lapangan terbang.