HIBURAN

Alami Jangkitan Luka Di C-Section, Elisya Sandha Akui Tertekan Ketika Berpantang - “Sedih...Tak Boleh Duduk, Baring”

Umirah Halim 02/07/2025 | 05:25 MYT
Pelakon, Elisya Sandha akui mengalami detik sukar sepanjang tempoh berpantang apabila mengalami jangkitan pada luka pembedahan Caesarean Section (C-section) selepas melahirkan anak kedua, Bahtera ElHaq.

Menurut Elisya, 26, keadaan itu membuatkan dirinya bukan sahaja tidak dapat bergerak bebas, malah fizikal dan emosinya turut terganggu sepanjang berpantang.

“Saya pun baru sahaja habis tempoh berpantang, cukup 44 hari semalam. Pengalaman berpantang kali ini memang sukar untuk saya ungkapkan kerana saya berada dalam keadaan yang sangat down.

“Saya sangat-sangat sedih sepanjang tempoh itu. Terlalu banyak perkara berlaku yang membuatkan emosi saya terganggu. Tapi Alhamdulillah, apabila pantang berakhir, saya dapat kembali semangat saya sedikit demi sedikit.

“Bila saya kena datang preview macam-macam apa-apa ni, saya rasa macam okay, this is it. Saya kena cari balik semangat saya. Dan Alhamdulillah, hari ni saya happy,” katanya ketika ditemui pada tayangan khas filem Citra Apartment di GSC IOI Mall Damansara, pada malam Selasa.

Menurut adik kepada pelakon Fasha Sandha itu juga, jangkitan pada luka pembedahan menjadi punca utama dia berasa sangat tertekan.

“Apa yang saya boleh kongsi sebenarnya saya down tu sebab saya punya tempat C-section tu ada luka, ada jangkitan. So, saya tak boleh duduk tak kena, baring tak kena, berjalan tak kena, semua tak kena. Sakit kepala.

“Jadi, saya rasa benda tu sangatlah mengganggu saya selama saya pantang 44 hari ni. Dah hujung-hujung tu baru saya macam dah okay sikit, dah boleh bercakap sikit. Kalau tak, saya akan jadi macam seorang yang depression,” jelasnya.

Namun, Elisya bersyukur kerana mendapat sokongan moral yang sangat kuat daripada suami tercinta, Uzair Haqimy Azman.

“Suami saya pun rasa begitu. Tapi saya dapat support system yang very strong daripada suami saya. Dan biasalah bila tengok anak-anak, mestilah kita happy kan. Kita rasa macam hilang sikit kesakitan tu.

“Tapi support system dikeliling saya sangat-sangat strong dan saya sangat-sangat bersyukur,” katanya.

Dalam pada itu, Elisya juga meluahkan rasa syukur kerana memiliki ibu mentua, Sheila Rusly yang sangat prihatin dan menjaga kebajikannya sepanjang tempoh berpantang.

“Saya memang beruntung. Saya dapat mak mentua yang sangat caring. Fikir pasal saya punya makanan during pantang. Make suresaya makan. Kalau saya tak makan, dia akan risau. Saya sangat-sangat bertuah untuk dapat mak mentua yang sangat caring pasal saya,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Elisya berkata dia memilih untuk tidak meluahkan semua kesakitan kepada orang sekeliling kerana tidak mahu mereka bimbang.

“Saya choose not to (luah dekat mak mentua). Bila saya sakit kepala ke, saya choose not to. Sebab saya tak nak orang risau. Kecuali suami lah. Suami kan duduk dengan saya. Hari-hari dia tengok muka saya pun dia tahu. Ini tak okay ni lah,” tambahnya.

Filem seram Citra Apartment arahan Amor Rizan yang dibintangi Elisya Sandha bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 3 Julai ini.

#Luka #Pantang #Jangkitan #Down #Sandha #Elisya