Kelonggaran serta kelebihan telah diberikan oleh kerajaan kepada kepada golongan yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 iaitu termasuk makan di restoran atau ‘dine-in’.

Mereka hanya perlu menunjukkan sijil vaksin digital yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera sebagai bukti sebelum dibenarkan memasuki premis seperti restoran atau pusat membeli belah.

Namun kelonggaran ini dipercayai telah membuatkan golongan anti-vaksin cemburu dan mahu mendapatkan kelonggaran yang sama selepas beberapa bulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh atau lockdown dilaksanakan.

Menerusi perkongsian Zura Kadershah di laman Facebook miliknya mendedahkan kawannya sendiri yang dengan tanpa segan silu mahu menggunakan sijil vaksinnya untuk mendapat kelonggaran yang sama tanpa perlu mengambil vaksin.

Menurut Zura rakannya itu mahu keluar membeli belah dan ‘dine-in’ di luar dengan menggunakan sijil vaksinnya dan dipalsukan atas namanya.

Lebih buruk lagi, rakannya itu telah memaki hamunnya hanya kerana dia tidak mahu menunjukkan sijil vaksin yang diterima.

“Dah lah muka tak malu mintak kat kita, bila tak bagi kita pula kena maki,” tulisnya.

Zura juga mengingatkan supaya pemilik sijil vaksin lengkap tidak sewenang-wenangnya berkongsi kepada sesiapa termasuk di media sosial kerana ia akan memudahkan golongan anti-vaksin untuk memalsukan sijil tersebut sekaligus bebas keluar dengan membahayakan orang lain.

“Tolong lah jangan post gambar digital sijil vaksin di media sosial sebab banyak orang yang tak bertanggungjawab membuat pemalsuan sijil untuk golongan anti vaksin ini,” pesannya.

Dalam masa yang sama, Zura turut berkongsi perbualannya dengan rakannya yang merupakan golongan antivaksin serta dalam masa yang sama mahu mempergunakan sijil vaksin miliknya.

Perkongsian tersebut telah menerima 4500 penonton serta 1600 perkongsian dan 96 komen dari pelayar laman sosial berkenaan.

Entri berkenaan juga mendapat perhatian pengikut Facebook yang rata-rata turut berang dengan sikap rakannya itu.

“Dah tak nak vaksin tu, duduk rumah je diam-diam tak payah nak haruk sana sini,” komen salah seorang netizen.