Penyanyi kumpulan MonoloQue, Loque memaklumkan isterinya, Dahlia Nadirah kini sarat hamil dan mereka bakal menimang cahaya mata keempat tidak lama lagi.

Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar, 43, bersyukur kerana doanya untuk memilki cahaya mata lagi termakbul.

“Pada hari yang bahagia ini , ingin saya berkongsi berita baik bahawasanya isteri tercinta Dahlia kini sedang sarat mengandung, sedang hamil dan keluarga kecil kami kini bakal menimang seorang lagi cahaya mata, InsyaAllah tak lama lagi.

“Alhamdulillah syukur di atas anugerah kurnianya, didahulukan dengan ucapan terima kasih , dimohon segala doa- doa dipanjatkan buat kami sekeluarga terutama buat Dahlia.

“Semoga segala urusan untuk menerima kedatangan bayi ini ke dunia diperhalusi hendaknya , lagi-lagi di dalam era Perang Halimun (pandemik) ini.

“Alhamdulillah juga, doa kami sebelum ini, untuk Pelangi Merdu jadi “Alang”’dan bukan “Bongsu”, termakbul . Kak Lang!,” maklumnya.

Loque berkongsi berita gembira itu di akaun Instagram miliknya.

Menerusi entri tersebut, Loque memuat naik foto bersama keluarga sambil memegang perut isterinya.

Dia bagaimanapun tidak memberitahu jantina anak yang dikandung oleh isterinya sama ada mereka bakal memperoleh anak perempuan lagi, atau bakal menimang cahayamata lelaki sulung dalam keluarga.

Loque dan isteri mempunyai tiga orang cahaya mata perempuan iaitu Anggerik Dang Jelita, 8, Seroja Dewi Harapan, 4 dan Melor Pelangi Merdu yang kini berusia 3 tahun.