"Alhamdulillah...Adik & Saudara Saya Selamat" - Faye Kusairi Trauma Dengan Kejadian Letupan Di Johor

Asraf Aided
April 12, 2019 07:05 MYT
Pelakon Faye Kusairi bersyukur kerana adik dan saudaranya tidak berada di kawasan kejadian letupan yang berlaku di hab industri minyak dan gas penapis di Pengerang, Johor pada jam 1.28 pagi tadi.
Menurut Faye, adik dan saudaranya bekerja di situ namun nasib menyebelahi mereka kerana tidak bertugas pada waktu kejadian.
Perkara itu dikongsi menerusi sebuah entri di akaun Instagramnya (IG) buat tatapan umum.
"Alhamdulillah adik dan saya saudara saya selamat, mereka tidak berada di site.
"Syukur alhamdulillah, saya harap ahli keluarga kenalan yang lain yang bekerja di Pengerang, Johor turut selamat.
"Teringat dahulu peristiwa SMDS Bintulu, my dad was working that night, tapi alhamdulillah dia selamat, agak traumatik apabila keadaan macam ini berlaku," tulisnya.
Dalam pada itu, Faye turut mendoakan keselamatan ahli keluarga orang ramai yang turut bekerja di kawasan letupan itu.
"Buat keluarga lain yang ada anak, suami, saudara atau mana-mana pihak yang bekerja disana, saya doakan keselamatan masing-masing, semoga Allah melindungi mereka yang mencari rezeki di sana," tulisnya mengakhiri kapsyen.
Difahamkan kilang tersebut ialah salah satu projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid).
#Faye Kusairi