Laman Utama
“Alhamdulillah, Berkat Doa Semua…Zydee Dah Balik Rumah & Akan Jalani Fisioterapi Selepas Ini” – Kozae One Nation Emcess
Anggota kumpulan One Nation Emcees, Kozae Murtaza mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan sahabatnya Zydee yang diserang strok baru-baru ini.
Zydee yang juga bekas anggota kumpulan itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, minggu lalu.
“Alhamdulillah, berkat doa semua Zydee sahabat saya yang doktor kata tiada harapan, diberikan kesembuhan dan sudah pulang ke rumah. Keadaan dia juga semakin baik dan sudah boleh bercakap.
Advertisement
“Cuma butir percakapan masih belum jelas. Zydee boleh berjalan tapi masih belum kuat lagi. Dia akan menjalani rawatan fisioterapi dalam masa terdekat ini bagi menguatkan kembali anggota badan yang lemah akibat strok tempoh hari,” katanya.
Bagaimanapun kata Kozae Zydee masih dalam pemantauan doktor dan akan menjalani pemeriksaan berkala.
“Macam yang kita tahu, sebelum ini doktor maklumkan keadaan Zydee agak kritikal. Walaupun dia sudah sedar dari koma doktor masih pantau keadaan dia.
“Rawatan seterusnya seperti pembedahan atau yang lain-lain belum dimaklumkan lagi,” katanya yang sempat menziarah Zydee di rumah baru-baru ini.
Dalam pada itu Kozae sempat menyampaikan salam dan ucapan terima kasih daripada ibu Zydee kepada sesiapa sahaja yang mendoakan.
"Ibu Zydee mengucapkan terima kasih kepada sahabat handai yang mendoakan kesejahteraan Zydee. Ibunya adalah wanita yang kuat dan dia menjaga Zydee yang juga anak tunggal.
“Doa kalian semua adalah ubat dan senjata paling mustajab, terima kasih semua," katanya.
Zydee pada 24 September lalu mengadu sakit pada bahagian dada ketika makan malam bersama rakannya dan dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.
Di hospital, dia dimaklumkan mengenai penyakit darah tingginya dan tidak lama selepas itu, dia diserang strok.
Kozae juga memaklumkan bahawa Zydee sebelum ini mempunyai sejarah penyakit semput yang kronik.
Must-Watch Video