HIBURAN

“Alhamdulillah, Dah Boleh Kahwin!” – Syed Saddiq Bebas Tuduhan, Peminat Terus Doa ‘Wedding Of The Year’ Dengan Bella Astillah

Umirah Halim 25/06/2025 | 04:55 MYT
Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang melepaskan dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada semua pertuduhan berkaitan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram nyata bukan sahaja melegakan ahli politik itu, malah turut mencetuskan sorakan ‘bahagia’ daripada peminat dunia hiburan.

Nama pelakon dan penyanyi Bella Astillah sekali lagi menjadi sebutan apabila ramai netizen mula ‘mengusik’ kedua-dua selebriti dan ahli politik itu agar segera mendirikan rumah tangga.

Ruangan komen di media sosial mula dihujani doa serta gurauan warganet yang menyokong hubungan baik antara Bella dan Saddiq.

“Alhamdulillah. Dah boleh kahwin…

“So Bella dan Saddiq, dah boleh la proceed ajak kenduri ni.

“Cepat-cepat la masuk minang Bella YB… kami tak sabar.

“Alhamdulillah… kita tunggu wedding of the year Bella vs Syed Saddiq.

“Yeayyyy dah boleh naik pelamin ❤️ dengan Bella,” komen beberapa netizen.

Terdahulu, Syed Saddiq dan keluarga dilihat sujud syukur sebaik sahaja keluar dari bilik perbicaraan Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman Putrajaya.

Sekadar info, Syed Saddiq, 33, dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Keputusan dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin selepas mendapati pertuduhan terhadap Saddiq tidak berasas.

Saddiq sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Namun, rayuan beliau yang mengandungi 18 alasan telah diterima oleh mahkamah hari ini.

#Bella Astillah #peminat #Doa #Syed #Saddiq