Pelakon Datuk Fizz Fairuz, 42, menyambut baik keputusan kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara selama 14 hari bermula Rabu ini.

BACA: Rentas Negeri, Rentas Daerah Tidak Dibenarkan Selama 14 Hari

Menurut Fizz atau nama sebenarnya, Mohd Fairuz Zainal Abidin, ini adalah keputusan yang terbaik bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang kini kian membimbangkan.

"Alhamdulillah kita PKP semula nak putuskan rantaian Covid-19. Satu keputusan yang sangat terbaik.

"Dalam masa dua minggu kita akan putuskan. Walaupun kita tak boleh bekerja, tapi saya rasa dalam dua minggu ini saja. Jalan terbaik, kita buat PKP balik bagi turunkan nombor kes," katanya.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di Instagram (IG), Fizz dan isteri, Datin Almy Nadia sedang berada dalam kereta ketika pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambah pelakon drama Kampung People, dia gembira dengan tindakan itu bukan disebabkan ingin duduk di rumah.

Kata anak jati Raub, Pahang ini, dia menginginkan kehidupan seperti sebelum ini yang bebas bergerak dan boleh melakukan aktiviti di luar tanpa kerisauan.

"Saya bangga sebab nak putuskan rantaian bukan sebab suka duduk rumah. Kita boleh jadi rakyat macam dulu-dulu.

"Boleh main bola, main badminton, keluar ke sana sini. Sekarang ini nak keluar pun takut, hari-hari 2,000 atau 3,000 kes.

"Insya-Allah, nanti kita boleh kerja balik. Terima kasih, abah. Kita buat untuk negara kita," katanya lagi.

Instagram: @almynadiaofficial