Balu kepada Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun berasa sangat sedih dan hiba kerana suaminya tidak sempat mengetahui berita yang dia sedang hamil.

Menurut laporan Astro Awani, balu wira negara itu, dia sendiri hanya mengetahui kehamilan itu dua hari selepas pemergian suaminya.

"Dua hari (selepas) arwah tiada, ada kawan-kawan tengok saya dan bertanya adakah saya mengandung. Saya pun tak duga. Tengok keadaan badan memang rasa lain berat saya pun naik.

"Saya kuatkan hati, saya test pregnancy (ujian kehamilan), saya tengok Alhamdulillah memang saya mengandung cuma arwah tak sempat tahu berita gembira ni," kata .

Beliau sebelum itu menerima kunjungan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Tuanku Zara yang tiba pada jam 12.30 tengah hari berkenan meluangkan masa hampir 30 minit bertanya khabar keadaan Nour Shafinar dan keluarganya.

Sementara itu, Nour Shafinar, 31 dan keluarganya juga tidak menyalahkan mana-mana pihak di atas insiden yang menimpa suaminya yang meninggal dunia dipercayai terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah pada 4 September lalu.

Dalam pada masa sama, Nour Shafinar berkata dia dan keluarga reda dengan pemergian arwah suaminya.

"Saya sebagai isteri kepada arwah, tak salahkan pihak mana-mana, saya juga anggap ini satu kemalangan di dalam latihan sebab mereka sama-sama sharp shooter," katanya lagi.

Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya yang berusia 36 tahun yang anak kepada pelakon veteran, AR Badul meninggal dunia akibat terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Sumber: Astro Awani