Laman Utama
“Alhamdulillah, Orang Nampak Perjalanan Kami” - K-Clique Teruja Tercalon Di MTV EMA 2020
Kumpulan hip hop popular tempatan, K-Clique melakar sejarah tersendiri apabila dicalonkan dalam kategori Artis Asia Tenggara Terbaik untuk Anugerah Muzik Eropah MTV 2020 (MTV EMA 2020) yang akan berlangsung pada 8 November ini.
Menurut salah seorang anggotanya, Ikhwan Lee atau lebih dikenali sebagai Noki K-Clique, pengiktirafan itu sangat besar kerana mereka adalah pendatang baharu dalam industri muzik tempatan dan kini nama mereka harum di pentas antarabangsa pula.
"Pertama kali kami dapat tahu pasal ni bila pengurus inform. Kami sangat terkejut dan tidak pernah terfikir pun boleh sampai ke tahap ini.
“Kami tidak pernah akui yang kami dah takluk muzik Malaysia ke apa tapi alhamdulillah kalau itu yang orang nampak.
“Kiranya orang sedar perjalanan kami daripada artis tempatan Sabah kemudian dikenali di serata Malaysia dan sekarang mendapat pencalonan di MTV EMA pula, ini rezeki buat kami,” jelasnya ketika dihubungi Gempak.
MTV EMA 2019 merupakan satu pengiktirafan buat pencapaian dalam bidang 'pop culture' di industri muzik Eropah dan antarabangsa.
Malah, pencalonan ini dipilih sendiri oleh MTV setelah pihak mereka menilai tahap pencapaian membanggakan artis tersebut di negara-negara Asia Tenggara.
Selain K-Clique, antara selebriti Asia Tenggara yang turut sama berentap adalah Agnez Mo dari Indonesia, Ben & Ben (Filipina), Benjamin Kheng (Singapura), Violette Wautier (Thailand) dan Jack (Vietnam).
Selain Noki, K-Clique turut dianggotai Tuju, Somean, MK, KDeaf, Gnello, FareedPF dan NastyNas.
Kumpulan itu mencipta fenomena pantas selepas lagu-lagu seperti Mimpi dan terbaru Pulang berjaya diterima dengan luar biasa peminat muzik tempatan.
Terdahulu, penyanyi rap Joe Flizzow mencipta sejarah menjadi wakil sulung dari Malaysia memenangi trofi Artis Terbaik Asia Tenggara untuk Anugerah Muzik Eropah MTV 2018 yang berlangsung Bizkaia Arena, Barakaldo, Basque Country, Sepanyol.
Must-Watch Video