Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Alhamdulillah, Saya Dapat Jadi Wali…” - Ismahalil Sebak Masih Diberi Peluang Hadiri Majlis Perkahwinan Anak

Mya Amri
17/07/2023 05:55 MYT
Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah menyatakan rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk menjadi wali bagi majlis perkahwinan anak sulungnya, Saidatul Nadiah, 27.

Menurut Isma, tiada kata dan perasaan yang dapat diungkapkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskannya atas pertuduhan mengedar dadah dua tahun lalu.

“Allah sahaja yang tahu macam mana perasaan saya sekarang, saya yakin kebebasan saya adalah kerana kebenaran dan kasih sayang Allah pada saya.

“Doa kawan-kawan… Masya-Allah saya pun tak tahu nak kata apa, hampir dua tahun saya dekat penjara,” katanya ketika ditemui Pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.

Malah kata Ismahalil lagi, fokusnya kini adalah pada keluarga terutama ibunya yang sedang sakit.

“Hari ini saya dapat merasai kebebasan. Dapat jumpa anak isteri saya. Mak saya sakit dekat rumah, itulah keutamaan saya.

“Anak saya juga bakal berkahwin tidak lama lagi. Alhamdulillah… Saya dapat jadi wali. Jika tiada aral melintang saya akan membuat kenduri kesyukuran di kampung dan juga Kuala Lumpur,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ismahalil juga turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sering mendoakan dirinya.

“Kepada para pendengar dan juga sahabat sahabat saya, doa kalian adalah sesuatu yang kuat untuk saya.

“Dua tahun ini banyak memberikan pengajaran buat saya. Banyak yang saya belajar dan tak mungkin saya dapat cakap semuanya, terima kasih,” ujarnya sebak.



BACA: Bebas Tuduhan Edar Dadah, Ismahalil Menangis, Sujud Syukur Dalam Mahkamah!

Terdahulu, Ismahalil Hamzah tidak dapat menahan sebak dan terus membuat sujud syukur selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskannya atas pertuduhan mengedar dadah.

#Anak #Penyampai radio #Dadah #Wali #Mahkamah #Penjara #Deejay #Bebas #Ismahalil
;