Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

“Alhamdulillah, Syukur Dapat Anak Perempuan… Tapi Saya Akan Tunjuk Bila Dia Dah Dua Tahun” – Afdlin Shauki

Umirah Halim 25/04/2025 | 04:55 MYT
Pelakon, pengarah dan pelawak terkenal, Datuk Afdlin Shauki, meluahkan rasa syukur dan kegembiraan apabila diberi rezeki menimang cahaya mata perempuan hasil perkahwinannya bersama isteri, Datin Marcella, kira-kira 10 bulan yang lalu.

Menurut Afdlin, pengalaman menimang anak pada usia sekarang memberikan makna yang berbeza buat dirinya.

Ujarnya, kehadiran si kecil itu ibarat satu peluang kedua untuk menikmati saat-saat menjadi seorang bapa.

“10 bulan lepas, saya menimang seorang cahaya mata. Alhamdulillah, kami bersyukur sangat-sangat kerana mendapat rezeki seorang anak perempuan.

"Perasaan saya ada anak kecil ketika di usia sekarang sangat seronok, seperti diberi peluang kedua untuk menjadi seorang bapa. Saya rasa sangat gembira dapat menjaga anak kecil pada umur sekarang," kata Afdlin ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Global Station yang berlangsung pada hari Selasa.

Imbas kembali zaman mudanya, Afdlin mengakui dia pernah terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga masa bersama anak-anak menjadi sangat terhad.

"Dulu sebagai bapa yang muda, saya sibuk bekerja sebab nak berikan yang terbaik untuk anak-anak, tapi akhirnya tak berjumpa dengan anak.

"Tahu-tahu anak-anak dah besar," kongsinya.

Namun kini, situasi itu berubah apabila Afdlin lebih menghargai masa dan berusaha meluangkan lebih banyak saat berharga bersama anak kecilnya, menikmati setiap detik tumbesarannya.

"Tapi bila sekarang, saya dapat luangkan lebih masa dengan anak," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Afdlin turut memaklumkan bahawa beliau memilih untuk tidak mendedahkan wajah anaknya kepada umum buat masa ini.

“Bila umur dia nak lebih dua tahun, baru saya akan tunjuk anak saya,” jelasnya.

#Anak #Perempuan #Syukur #Afdlin #shauki