Hiburan
"Alhamdulillah, Tak Sangka Dapat Jodoh Selepas 2 Tahun..." - Isma AF7 Tak Mahu Ungkit Kisah Lama
Pernah melalui episod perceraian dan bergelar ibu tunggal selama dua tahun, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 7, Isma, 39, kini kembali merasakan bahagia.
Mendirikan rumah tangga dengan seorang jejaka yang dikenali dengan nama Mohd Dzaki, 35, pada penghujung tahun lalu, Isma menyifatkan jodoh yang hadir sebagai perancangan Allah.
"Alhamdulillah, saya sendiri tak sangka saya bertemu jodoh selepas dua tahun bergelar ibu tunggal.
"Semuanya aturan Allah, jadi saya menerima ia dengan hati terbuka. Saya mahu terus memandang ke hadapan dan enggan ungkit kisah lama.
"Saya sendiri tak pernah menutup pintu hati untuk kembali berjodoh kerana semuanya saya serahkan kepada ketentuan takdir. Siapalah saya mahu menafikan apa yang sudah tertulis.
"Apa yang terjadi, semuanya memberikan pengajaran. Saya mahu tutup buku lama, buka buku baru," kata pemilik nama sebenar Ismaliza Ismail ini.
Isma dan Dzaki dinikahkan pada 21 Disember tahun lalu di Menara Seri Dewan Wilayah, Putrajaya.
Menerusi perkongsian hidup Isma dengan komposer dan penyanyi Zul 2By2 yang terlerai dua tahun lalu, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Muhammad Haiqal Aiman, 21, Muhammad Haiqal Aydiel, 20, Seri Aida Merlissa, 18, Seri Ayreen Merlynda, 16, dan Seri Adryana Mercella, 12.
Tambah kakak kepada penyanyi Tomok ini, dia enggan berkongsi banyak perkara mengenai perkahwinan keduanya.
"Cukup orang sekadar tahu saya sudah berkahwin. Saya menuruti permintaan suami, dia seorang yang 'low profile' dan lebih selesa di belakang tabir sahaja.
"Apa yang saya kongsi di Instagram, itu sahajalah yang boleh saya ceritakan. Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja.
"Bercakap mengenai soal cahaya mata, kami tak mahu berharap lebih-lebih, takut nanti kecewa jika terlalu meletakkan impian.
"Semuanya kami serahkan kepada ketentuan takdir. Kalau ada rezeki untuk kami menimang cahaya mata, kami terima dengan hati yang sangat bersyukur," katanya lagi.
Isma ditemui di acara pelancaran busana jenama Munawwareen 2020 di spa BaliThai, Jalan Tengah, Kuala Lumpur.
Acara terbabit memperkenalkan koleksi terkini jenama yang diasaskan oleh pengarah urusan mereka, Hajah Aliza Abu Bakar dan ia turut dihadiri ramai selebriti seperti Rohana Jalil, Syafie Naswip, Raja Afiq, Salwa Abd Rahman, Ayu Damit dan ramai lagi.
Munawwareen 2020 menampilkan rekaan fesyen berkualiti dan busana muslimah serta helaian jubah eksklusif yang sangat selesa untuk wanita di luar sana.
Untuk sebarang informasi lanjut, singgah ke butik Munawwareen di No 72, GF, Jalan Wangsa Delima, Pusat Bandar Wangsa Maju atau layari laman Instagram @munawwareen.