Alhamdulillah! Umum Peluk Islam Pada Hari Jadi, Mell Sakura Band Masih Kekalkan Nama Asal

Amri Hassan
Oktober 11, 2017 07:07 MYT
Vokalis Sakura Band, Mell atau nama sebenarnya Melly Matius mengakui kini sudah memeluk agama Islam.
Pengumuman itu dibuat menerusi akaun media sosial Instagramnya, @mellsakura pada pagi semalam sempena hari jadinya ke-29.
"Assalamualaikum semua, thank you yang wish birthday Mell. Semoga Allah S.W.T merahmati kamu #misiyakiniku," tulisnya.
Mell yang dihubungi Astro Gempak memberitahu dia telah memeluk Islam sejak beberapa bulan lalu namun enggan mendedahkan proses penghijrahan itu.
"Saya sudah memeluk agama Islam sejak beberapa bulan lalu dan mendapat sokongan kuat daripada ibu saya.
"Dia juga seorang mualaf dan banyak memberikan dorongan dan semangat sepanjang proses penghijrahan saya.
"Saya mengambil keputusan untuk mengumumkan pada tarikh hari jadi ke-29 saya kerana mahu ia menjadi detik bersejarah bagi diri saya sendiri dan sudah sampai masanya untuk saya berkongsikan berita ini kepada semua," katanya.
Ditanya tentang imejnya, Mell memberitahu dia belum sepenuhnya berhijab dan sedang mendalami ilmu agama Islam.
"Saya belum berhijab tetapi saya harapkan doa daripada semua orang ke arah yang lebih baik.
"Malah, saya masih mengekalkan nama asal saya," kata anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu.
Biarpun penghijrahan Mell mengejutkan anggota Sakura Band yang dianggotai oleh Ali, Haniff dan Akai, mereka tidak putus-putus memberikan sokongan.
"Pada mulanya mereka agak terkejut dengan keputusan saya tetapi mereka sangat menyokong dan memahami," katanya.
Sakura Band kini dalam rangka promosi single Yakiniku dan merancang akan melancarkan single baharu dan album kedua pada awal tahun depan.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @mellsakura
#Sakura Band #Islam #Mell