Pelawak Ali Puteh dan PU Rahmat memuat naik video menyanyikan lagu parodi raya judi di laman sosial Youtube.

Ali ketika dihubungi Gempak berkata, lagu berjudul GD Bet Neraka itu merupakan ciptaannya dan PU Rahmat sendiri.

“Kami mula mendapat idea untuk memparodikan lagu tersebut selepas membaca berita tular mengenai lagu judi raya baru-baru ini.

“Bagaimanapun liriknya kami tukar ke dalam bentuk nasihat dan peringatan kepada orang ramai agar tidak terpengaruh dengan promosi dan muslihat ‘tauke judi’ ni semua.

“Saya tidak kisah kalau orang anggap saya sengaja perli mereka yang terlibat kerana bagi saya perbuatan tersebut memang melampau.

“Yang offer sudah tentulah biadap yang menerima pula, seharusnya berfikir dengan lebih bijak sebelum bertindak.

“Lagi pula ia berlaku pada bulan seribu kemuliaan, iaitu bulan Ramadan,” katanya.

Tambah Ali lagi, dia dan PU Rahmat berasa kesal kerana bukan satu video yang diterbitkan tetapi lebih.

“Bulan puasa bulan mulia tetapi telah dicemari dengan dosa. Lebih memalukan ia melibatkan orang Melayu kita, beragama Islam semata-mata kerana duit.

“Terang-terangan mengajak orang lain berbuat dosa dan ia perkara yang tidak dapat dimaafkan. Dalam masa yang sama, saya berharap agar dalang di sebalik video-video ini dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.



Terdahulu, kemunculan sebuah video GDBet333 Hari Raya berdurasi dua minit mengundang kemarahan orang ramai kerana mempromosikan aktiviti perjudian.

Lebih melampau apabila mereka menggunakan lagu latar Hari Raya dan perkara tersebut menyinggung sensitiviti umat Islam.

Iklan yang dikeluarkan sebuah syarikat judi itu mengajak orang ramai meraih wang berganda dengan menggunakan perkhidmatan mereka.