Ali Puteh Terharu Kanak-Kanak Istimewa Cari Alamat Rumah Deminya & Abam

Fiza Kamarudin
Oktober 14, 2017 00:00 MYT
Hos Super Spontan 9.30, Ali Puteh meluahkan rasa terharunya apabila seorang kanak-kanak istimewa datang mencarinya dan Abam di rumah.
Ali menerusi sebuah muat naik di Instagramnya memberitahu, kanak-kanak istimewa tersebut datang bersama ibunya dari jauh.
Apa yang memeranjatkan Ali ialah, kanak-kanak tersebut dan ibunya hanya bertanya kepada orang sekeliling di mana kediaman pelawak tersebut dan abangnya, Abam.

Bagaimanapun, peminat istimewa tersebut tidak berkesempatan bertemu Abam kerana pelawak tersebut tiada di rumah.
Gempak difahamkan, Abam sedang sibuk dengan penggambaran sebuah filem yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
Dalam perkembangan lain, Ali kini sedang menanti kelahiran anak sulungnya yang dijangka dilahirkan pada awal November ini.
Menerusi slot setengah jam Super Spontan 9:30, Ali yang menggunakan nama pentas ‘Ali Merecik’ mengupas mengenai perkembangan terkini pemain-pemain Super Spontan Superstar (SSS) 2017 setiap minggu.
Minggu suku akhir SSS 2017 menyaksikan Rahim R2 disingkirkan daripada kumpulan Tenggiling Taiko selepas mereka tewas buat kali kedua di tangan King Musang.
Siapa yang bakal bertahan sehingga ke pentas akhir SSS 2017, saksikan Super Spontan Superstar 2017 Separuh Akhir yang bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, Jumaat hadapan, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).
Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Foto: Instagram Ali Puteh

#Pelawak #Ali Puteh #Super Spontan Superstar 2017