Laman Utama
Ali XPDC Masuk Hospital Kerana Masalah Jantung – “Doakan Saya, Ada Sedikit Ujian Daripada Allah SWT…”
Penyanyi kumpulan XPDC, Mohd Ali Ismail atau Ali, 53, dikejarkan ke Hospital Shah Alam pada malam Isnin lalu selepas mengalami kesukaran bernafas dan masalah jantung.
Gempak difahamkan pada Ali kini ditahan di wad selama lima hari tanpa sebarang pelawat, untuk pemantauan pihak doktor.
Sementara itu, Ali meminta rakan-rakan dan peminat mendoakannya agar segera sembuh.
"Saya mohon doakan saya sekarang yang dimasukkan ke Hospital Shah Alam. Ada sedikit ujian dari Allah SWT. Moga doa kalian dimakbulkan dan Insya-Allah saya akan kembali pulih seperti sediakala. Doakan," katanya menerusi rakaman video.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, Ali pernah melecur 30 peratus di tangan dan muka selepas disambar api ketika sedang membakar sampah di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang pada 26 Mac tahun lalu.
Penderitaannya mendapat perhatian ramai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Dr Daroyah Alwi yang hadir menyerahkan bantuan bagi meringankan bebannya.
Tidak terkecuali, Konsortium Irama (Irama) dan Muzikal Malaysia turut bergabung membantu Ali apabila mewujudkan Tabung Kecemasan Kemalangan Penggiat Seni Muzik.