Berita
Alif Satar Dedah Isteri Keguguran Awal Tahun Ini
Selebriti serba boleh, Alif Satar mendedahkan dirinya diuji dengan berita keguguran isteri, Shadila Halid awal tahun ini.
Ketika itu, usia kandungan Shadila baru memasuki minggu kelapan.
"Kejadian itu berlaku pada awal tahun ini. Saya dan isteri reda dengan ujian terbabit. Ketika itu, usia kandungannya masih awal.
"Saya menerima ketentuan tersebut dan tidak terlalu terbawa bawa dengan perasan," kata Alif.
Pengacara Big Stage ini ditemui di majlis pelancaran aplikasi Salam Web dan portal gaya hidup Salam Today di Empire Hotel, Subang Jaya sebentar tadi.
Namun begitu, setiap ujian pasti ada hikmah dan kemanisan tersendiri.
Alif dan isteri kini bahagia dan sedang menanti kelahiran cahaya mata baru tidak lama lagi.
"Syukur Alhamdulillah, isteri saya disahkan hamil sekali lagi. Isteri saya akan melahirkan anak kami tidak lama lagi.
"Insya-Allah, kami akan menyambut kelahiran permata hati terbaru pada 10 Oktober depan.
"Jantina anak kami hanya akan diketahui pada Jumaat ini. Sejujurnya, baik saya dan isteri, kami memang tak kisah jantina anak kami nanti.
"Sama ada kami menerima kehadiran anak lelaki atau perempuan, kami anggap ia rezeki. Kami menerimanya dengan hati yang terbuka," katanya lagi.
Alif dan Shadila mendirikan rumah tangga pada September 2014 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua anak perempuan Alisha Anugerah, 4, dan Ariana Mecca, 2.
Must-Watch Video