Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Aliff Aziz Tiada Mesej Tanya Soal Anak-Anak, Bella Astillah: “Saya Rasa Lebih Baik Begini”

Khairil Khusyairi
04/10/2024 13:25 MYT
Pelakon dan penyanyi Bella Astillah mengakui bekas suami, aktor Aliff Aziz tiada menghubungi dirinya untuk bertanyakan soal anak-anak.

Tak Mesej Anak

Bercakap kepada Gempak, pemilik nama lengkap Dayang Nabellah Awang Astillah, 30, berkata, tindakan tersebut merupakan jalan terbaik buat dirinya dan anak-anak.

“Sebenarnya saya sudah tak mahu ulas pasal itu, tapi sejak kejadian lalu sehingga hari ini, tiada satu mesej atau panggilan atau Direct Message (DM) dari dia.

“Tapi saya tiada masalah dengan benda itu, saya tidak pertikaikan, saya tidak marah, saya rasa lebih baik begini.

“Tapi kita tak tahu tiga sehingga empat tahun lagi macam mana sebab saya rasa ini jalan yang terbaik. Sebab saya seorang yang berhati lembut, dan saya tidak bersedia untuk itu (berbaik),” ujarnya.

Anak Tidak Mencari

Bella ditemui pada majlis sidang media pelancaran lagu dan muzik video Tapi Bukan Denganmu, di ibu kota pada Jumaat.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, anak-anaknya juga tidak bertanya tentang keberadaan bapa mereka itu.

“Alhamdulillah anak-anak tidak mencari, saya lagi takut kalau mereka fikir yang bukan-bukan tapi sekarang mereka fokus belajar dan setakat ini okay. Boleh nampak di media sosial saya.

“Saya nak membantu diri saya untuk ‘heal’ jadi saya tidak ‘stalk’ dan saya tidak tahu apa-apa perkembangan mengenai dia atau keluarga dia. Saya hanya mendoakan yang terbaik buat dia dan keluarga dia.

“Saya tidak cakap yang pihak sana tiada usaha tapi sebenarnya saya bersetuju dengan tindakannya sekarang. Saya tidak marah dan saya rasa adalah lebih baik kita menjalani kehidupan masing-masing,” jelasnya.

Bukan Mudah Nak Move On

Dalam pada itu, Bella juga akui kehidupannya kini lebih tenang selepas berdepan fasa perpisahan.

Malah mengakui bukan mudah untuk terus move on namun bersyukur keluarga banyak memberi sokongan.

“Saya lebih tenang alhamdulillah. Saya gembira dia ada kehidupan dia dan saya tidak mendoakan yang tidak baik. Kita pun manusia, kita sendiri nak minta orang doakan yang terbaik jadi lebih baik saya mendoakan yang terbaik dan semoga saya pun boleh menjalani kehidupan yang baik dengan anak-anak saya.

“Nak ‘move on’ tak senang sebab hubungan kami selama 12 tahun itu tak mudah, tapi saya percaya lambat laun pasti saya boleh ‘move on’.

“Ia tak mudah tapi dengan adanya anak-anak dan keluarga, saya percaya masa itu akan tiba juga,” tutupnya.

Bella dan Aliff sah bercerai pada 13 Jun lalu di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

Bella dan Aliff juga pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah.

#Anak #cerai #Aliff Aziz #Bella Astillah #Mesej #Hubungi
;