HIBURAN
Aliff Syukri Bela Diri, Nafi Promosi LGBT Dalam MV Kelepok Raya - "Saya Ambil Inspirasi MV Hael Husaini & Elizabeth Tan"
Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menafikan dakwaan pihaknya menyokong atau mempromosikan elemen LGBT dalam kandungan media sosialnya, susulan penerbitan muzik video kontroversi Kelepok Raya.
Menurutnya, sebagai ketua keluarga, dia sentiasa menjaga batas dan menolak sebarang tuduhan yang mengaitkannya dengan elemen tersebut.
“Saya juga ingin tegaskan bahawa saya tidak sama sekali menyokong atau mahu mempromosikan LGBT dalam mana-mana platform media sosial saya seperti yang ditohmahkan ke atas diri saya.
“Sebagai seorang suami dan bapa kepada enam orang anak, saya tidak akan membuat perkara yang akan menjadi contoh yang tidak baik kepada mereka seperti mempromosikan LGBT,” katanya dalam kenyataan kepada mahkamah.
Menjawab pertuduhan bahawa dia memuat naik empat video yang dikatakan mengandungi kandungan sumbang ke media sosial, Aliff menegaskan dia bukan individu yang berbuat demikian.
Mengulas mengenai kandungan muzik video itu, Aliff memaklumkan bahawa ia dihasilkan dengan mengambil inspirasi daripada klip video dua artis terkenal tempatan.
“Saya juga mengambil inspirasi dari dua buah klip muzik video dua orang artis iaitu Hael Husaini dan Elizabeth Tan dalam penghasilan muzik video ‘Kelepok Raya’ tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Aliff didakwa atas beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kandungan video muzik Hari Raya yang mencetuskan kontroversi. Dia mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut.
Dalam pada itu, Aliff turut memaklumkan mahkamah dia tidak pernah memuat naik empat klip video muzik Kelepok Raya ke akaun Instagram @aliffsyukriterlajaklaris.
Sebaliknya beliau percaya salah seorang daripada dua pembantunya yang melakukan perkara tersebut memandangkan mereka yang memegang telefon bimbitnya serta akses ke akaun Instagram tersebut.
“Pada bila-bila masa, saya tidak pernah memberi apa-apa arahan kepada mana-mana pekerja saya untuk memuat naik mana-mana bahagian dari muzik video Kelepok Raya ke dalam mana-mana laman media sosial saya.
“Ini kerana, video muzik tersebut belum melalui proses suntingan serta kelulusan saya sebelum ia dimuat naik ke dalam akaun-akaun media sosial,” katanya lagi.
Selepas prosiding pemeriksaan utama oleh Awang Armadajaya selesai, mahkamah menetapkan 22 Mei ini bagi pemeriksaan balas oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu @aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber: RTM, Malaysia Gazette