HIBURAN

‘All That’s Left Of You’ Rangkul Filem Terbaik Di MIFFest 2025 & Ti Lung Terima Anugerah Sepanjang Hayat

Ainun Md Zooki 03/08/2025 | 20:55 MYT
Festival Filem Antarabangsa Malaysia ke-8 (MIFFest 2025) yang berlangsung penuh gemilang di ZEPP Kuala Lumpur pada Sabtu lalu menyaksikan karya Palestin, All That’s Left of You dinobatkan sebagai Filem Terbaik tahun ini.

Anugerah itu disampaikan sendiri oleh pengarah dan pelakon utamanya, Cherien Dabis.

Filem ini juga turut membawa pulang trofi Skrip Terbaik dan menjadikannya antara pemenang terbesar pada malam itu.

Karya yang pernah ditayangkan di Sundance Filem Festival ini mengangkat kisah pasangan Palestin yang berdepan dilema besar dalam kehidupan mereka yang penuh ketidaktentuan akibat konflik dan pelarian.

Sementara itu, filem Red Path dari Tunisia turut mencuri perhatian apabila pengarahnya, Lotfi Achour merangkul dua anugerah iaitu Pengarah Terbaik dan New Hope Award.

Filem ini mengisahkan seorang pengembala muda yang terpaksa membawa pulang mesej mengerikan kepada keluarganya selepas diserang kumpulan jihad.

Barisan Juri Bertaraf Bintang, Reza Rahadian Terima Pengiktirafan


Sebanyak sembilan filem antarabangsa bersaing bagi merebut Malaysia Golden Global Awards (MGGA) tahun ini.

Turut mencuri perhatian adalah barisan juri yang diketuai oleh pengarah terkenal UK, Asif Kapadia, disertai pelakon Malaysia Diana Danielle, aktres Hong Kong Jennifer Yu, pengarah Indonesia merangkap pelakon Reza Rahadian, serta pembikin filem dari India, Rima Das.

Reza Rahadian turut menerima penghargaan Excellent Achievement in Film Award sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam dunia seni.

Ti Lung Terima Anugerah Sepanjang Hayat


Legenda Hong Kong, Ti Lung diraikan dalam acara tersebut apabila dianugerahkan Lifetime Achievement Award atas jasa dan pencapaian cemerlangnya dalam industri filem Asia sepanjang beberapa dekad.

ASEAN On Screen: Promosi Kandungan Serantau Ke Peringkat Global

Edisi kali ini turut menyaksikan pengenalan inisiatif ASEAN On Screen, sebuah program industri yang mengangkat bakat dan karya dari Asia Tenggara ke peringkat antarabangsa. Ia dianjurkan sempena ASEAN Film & TV Summit yang pertama, hasil kerjasama FINAS dan Kementerian Komunikasi, sempena ulang tahun ke-10 komuniti ASEAN dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Program tersebut dimeriahkan dengan kehadiran nama-nama besar seperti penerbit Train To Busan, Lee Dong-Ha, pembikin filem tersohor Garin Nugroho, serta wakil Malaysia Shamin Yusof dan CEO FINAS, Azmir Saifuddin Bin Mutalib.

Senarai Penuh Pemenang MIFFest 2025:

Filem Terbaik
All That’s Left Of You

Anugerah Harapan Baru (New Hope)
Red Path

Pengarah Terbaik
Lotfi Achour – Red Path

Pelakon Wanita Terbaik
Juli Grabenhenrich – Paternal Leave

Pelakon Lelaki Terbaik
Mahmood Bakri Chatila – To A Land Unknown

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Park Mi-Hyeon – Winter In Sokcho

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Han Haolin – My Friend An Delie

Skrip Terbaik
Cherien Dabis – All That’s Left Of You

Sinematografi Terbaik
Isabelle Stachtchenko – Universal Language

Anugerah Pilihan Penonton
From Island To Island

#Filem #Palestin #Menang #2025 #Malaysia International Film Festival #Miffest2025