Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

All Stars Gegar Vaganza: Seram! Aishah Terima Santau ‘Courier’ - “Dalam Mimpi Nampak Lelaki, Muka Familiar Tapi…”

Syafiqah Jalal
30/08/2023 00:48 MYT
Penyanyi popular era 90-an, Datuk Aishah dedah menerima kiriman ‘santau’ yang dipercayai dihantar melalui khidmat kurier baru-baru ini.

Kongsi Aishah atau nama lengkapnya Wan Aishah Wan Ariffin, 58, kepada Gempak, lebih aneh lagi barang yang dihantar berada di dalam kotak seperti alat ganti motosikal dan menerima perkara buruk pada dirinya.

Rasa Ada Benda Tarik Di Perut

“Barang itu dihantar melalui kurier, saya nampak macam bateri motor ingat anak punya tapi nama saya macam pelik je.

“Bila dapat tu saya bawa masuk dalam rumah tetapi dekat pagar rumah dah rasa seram makin lama makin teruk, anak saya kata nantilah tunggu dia cuti nak tolong buka.

“Tapi sementara tunggu kata dia nak buka tu, saya dah rasa tangkap kat perut rasa nak guling-guling macam tak sedar. Rasa seram sampai rasa seperti ada benda tarik di perut,” katanya.

Aishah ditemui selepas mengumumkannya sebagai salah seorang peserta All Stars Gegar Vaganza yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Selasa.

Mimpi Wajah Lelaki

Berkongsi lanjut mengenai kesan yang dialami setelah menerima bungkusan itu, Aishah memberitahu dia sering bermimpi buruk sehingga menampakkan wajah seseorang yang seperti dikenali.

“Lama-lama makin teruk kerana perkara ini orang yang pernah kena sahaja tahu. Saya mimpi banyak benda buruk seperti ada orang terkam dan sebagainya. Saya jarang mimpi, tapi ada malam itu saya mimpi seseorang lelaki, muka familiar tapi tak kenal.

“Sampai ke sudah saya tak buka kerana saya yakin ia bukan daripada pengirim yang sah sebab kalau betul mesti ada tulis nama penghantar. Ini tiada apa-apa details atau maklumat pun di kotak itu.

“Sebabkan tak tahan saya pun buangkannya ke dalam tong sampah di luar rumah dan secara serta merta rasa gelisah dan sakit di badan makin hilang,” beritahunya.

Orang Dengki Muka Sombong?

Menurut Aishah kemungkinan ada yang tidak berpuas hati dengannya caranya yang tegas tetapi dianggap sombong.

“Saya tak nak fikir siapa yang buat kerana saya tahu orang macam saya ni memang la orang tak suka sebab wajah saya yang nampak garang. Sebenarnya orang tak dapat membezakan tegas dengan sombong.

“Saya seorang yang tegas je kalau betul saya cakap betul kalau tak tiada lah,” ujarnya.

Pergi Berubat / Pendinding

Bagi memulihkan keadannya itu, Aishah memberitahu dia ada pergi berubat.

“Sebelum ini memang pernah kena dan saya sudah biasa pasang ayat ruqyah seperti al-quran dan orang mengaji.

“Pergi juga lah berubat untuk pulihkan diri saya. Tapi saya tak nak tahu pun siapa yang hantar kerana tak mahu ambil pusing.

“Pendinding saya tak ada lah. Saya rasa benda itu tak kena pada badan, ia ada di rumah sahaja sebab kalau saya keluar okey, tapi bila di rumah saya akan jadi lemah dan malas sampai tak bangun solat Subuh dan rasa gelap serta depressed selepas waktu Asar.

“Alhamdulilah sekarang saya kembali pulih,” kongsinya lagi.

Selain Aishah, All Stars Gegar Vaganza menampilkan Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Noryn Aziz (GV5), Naqiu serta Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).

All Stars Gegar Vaganza akan berlangsung selama dua belas (12) minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 24 September, setiap Ahad, jam 9.00 malam, ditayangkan eksklusif di Astro Ria (Saluran 104) dan untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.

#Penyanyi #Sihir #Aishah #Seram #Santau #Hantar
;