Pelakon Noorkhiriah merayu kepada pengguna media sosial TikTok supaya tidak menggunakan video lamanya ketika tidak berhijab.

Luahan tersebut dibuat Noorkhiriah menerusi satu posting di Instagramnya, hari ini.

Menurut Noorkhiriah, dia kini telah ‘dibanjiri’ dengan pelbagai mesej daripada orang ramai yang berkongsi video lakonan lamanya.

“Sebenarnya dah cakap banyak kali, dah berbuih mulut.

“Ramai mesej akak hantar video lama-lama akak, katanya dah viral dekat TikTok.

“Akak sedih, korang dah tau kan akak dah full berhijab tapi masih nak keluarkan cerita waktu belum bertudung.

“Sudah la tidak bertudung, akak dalam video tu berkemban walaupun ada tuala kat atas.

“Kalau korang berfikiran waras, mesti takkan keluarkan video macam tu,” katanya.

Jelasnya, dia memang tidak mempunyai kuasa jika membabitkan stesen televisyen kerana hak cipta milik mereka.

“Tapi untuk budak TikTokers ni, tolong lah akak merayu sangat.

“Tak kiralah minat sekali pun tolonglah, jangan keluarkan cerita yang nampak aurat akak.

“Bila disuruh padam tak padam. Allah dah tutup aib akak cantik-canti tapi korang keluarkan juga,” katanya.