Pemain dram popular, Yazid Ahmad mengakui sanggup menyertai kumpulan pemuzik jalanan walaupun hanya menerima RM30 demi kelangsungan hidup.

Yazit berkata, ketika ini, dia memerlukan kira-kira RM1,000 untuk kos dialisis dan ubat-ubatan setiap bulan, malah sanggup mencari rezeki tanpa mengharapkan ihsan orang lain.

“Memang saya menerima bantuan Baitulmal untuk rawatan mencuci darah empat kali seminggu, tetapi bukan sepenuhnya. Saya masih perlu gunakan wang sendiri.

“Dalam keadaan kurang bertenaga, terutama selepas menjalani dialisis, sukar untuk mencari kerja lain. Dengan bakat yang ada, saya cuba keluar bekerja.

“Mujur ada kenalan yang mempelawa saya untuk bermain muzik. Biarpun bayarannya tidak banyak, saya bersyukur pintu rezeki masih dibuka,” katanya.

Bekas anggota kumpulan Search itu berkata, dia masih mampu mengerah keringat untuk mencari rezeki, meskipun ada suara sumbang yang mengejek.

Yazit menghidap sakit buah pinggang sejak 10 tahun lalu, selain menderita masalah urat saraf menyebabkan dia kerap keluar masuk hospital.

Namun, sejak menjalani rawatan dialisis secara berkala sejak dua tahun lalu, selain menjaga pemakanan, tahap kesihatannya agak terkawal.

“Allah menguji saya. Sebelum ini, Dia pernah memberi saya kesenangan dan apabila menerima ujian, saya bersyukur masih diberi peluang mengingati-Nya.

“Saya tahu, di luar sana ada suara sumbang yang mengata itu dan ini. Namun, siapa saya untuk menutup mulut mereka? Biarlah, saya reda.

“Sekarang, saya cuma mahu bekerja untuk mencari pendapatan. Memang anak membantu dari segi kewangan, tetapi kos perubatan agak tinggi membuatkan saya tidak boleh berpeluk tubuh,” kata.

Sumber: Berita Harian Online