Bekas penyampai radio ERA dan Sinar, Najman Mohamed yang dijangkiti Covid-19 kini berada di tahap empat dan memerlukan bantuan oksigen.

Menurut Najman, dia kini berada di Hospital Pakar KPJ Puteri Johor Bahru dan keadaan masih belum berkurang.

“Saya stage empat ada bantuan oksigen. Hari ini pun keadaan sama masih tak kurang,” katanya.

Menurutnya lagi, dia juga memohon supaya orang ramai mendoakan kesembuhannya daripada penyakit berkenaan.

“Allah saja mampu beri keajaiban,” katanya ringkas kepada Astro Gempak.

Difahamkan satu majlis bacaan Yasin dan doa kesembuhan buat Najman akan dianjurkan pada esok (Khamis) jam 9.30 malam.

Sekadar info, Najman, 51, mengumumkan dirinya positif COVID-19 pada 14 Ogos lalu.

Menerusi perkongsiannya di laman Facebook pada Jumaat, Najman memaklumkan bahawa tahap oksigennya kini berada di bawah paras 92.

Terdahulu, Najman yang sebelum ini hanya menjalani kuarantin di rumah namun mula menyatakan rasa tidak sedap badan selepas menjalankan senaman paru-paru.

Susulan itu dia dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri (KPJ), Johor Bahru pada Isnin petang.

Selain Najman, isterinya, Hawa Atan dan dua anaknya, Amirul Akidd dan Amirul Akiff juga disahkan positif COVID-19.

Bagaimanapun isterinya yang sebelum ini berada pada tahap empat dilaporkan semakin pulih dan mungkin dibenarkan keluar hospital manakala dua anaknya hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah.