"Allah Sayang Padamu" - Penyanyi 90-an Azreen Manan Meninggal Dunia

Amri Hassan
Ogos 18, 2018 06:34 MYT
Penyanyi era 90-an, Azreen Manan, 41, telah menghembuskan nafas terakhirnya hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh sahabat karibnya, Datin Seri Umie Aida menerusi Instagramnya sebentar tadi.
"Allah sayang pada mu Azreen, tenanglah mu di sana. Al-fatihah," tulis Umie.
Selain Umie, pelakon Erra Fazira turut menitipkan coretan terakhirnya buat arwah Azreen.
Sebelum ini Azreen dimasukkan ke Institut Kanser Negara (IJN) di Putrajaya akibat kanser serviks berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa bergantung pada ubat penahan sakit.
Azreen disahkan menghidap kanser serviks tahap empat sejak dua tahun lalu dan pernah menjalani pembedahan membuang ovari.
Selain itu, Azreen berhadapan masalah komplikasi buah pinggang dan usus tersumbat.
Azreen dikenali sebagai penyanyi pada usia 12 tahun apabila tampil dengan album sulung pada 1989.
Dia juga pernah meraih tempat ketiga dalam pertandingan Asia Bagus pada tahun 1992. Ketika itu Krisdayanti dinobatkan sebagai juara.
Pada zaman popularnya Azreen pernah menggejutkan dunia hiburan apabila dia memilih untuk berkahwin dengan adinda Sultan Pahang iaitu Datuk Seri Tengku Kamaruzzaman Sultan Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Tengku Intan pada tahun 1993.
Ketika itu Azreen baru berusia 16 tahun.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang anak yang kini berusia 24 dan 21 tahun.
Foto: Utusan Online, @errafazira, @umieaida9
#Meninggal Dunia #Belasungkawa #Azreen Manan