Penyanyi terkenal Indonesia Syahrini mencuri perhatian wargamaya apabila tampil bergaya dengan sehelai jaket yang harganya mampu membeli sebuah kereta secara tunai!

Menerusi laman sosial Instagram, Syahrini atau nama sebenarnya Rini Fatimah Zaelani, 38, memuat naik foto percutian bersama suaminya Reino Barack ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk tatapan umum.

“My sun in the winter,” tulis Syahrini menerusi ruangan kapsyen.

Menerusi entri tersebut, Syahrini yang dipeluk erat suaminya mengenakan sehelai jaket berbulu dengan corak yang sama dengan tas tangan dari jenama Fendi.

Pengendali akaun Instagram @fashionsyahrini yang memaparkan fesyen harian penyanyi kesayangan negara jiran itu turut berkongsi informasi jaket Fendi tersebut adalah daripada koleksi terbaru Wool Fur Bi-Color yang harganya mencecah AS$17,865 (RM73,000).

Malah, tas tangan Fendi menggunakan fabrik yang sama seperti jaket tersebut berharga RM16,000.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata wargamaya terkejut melihat harga sehelai jaket yang dipakai Syahrini ketika bercuti.

“Syahrini kalau beli baju memang tak tengok tanda harga ke?” tanya seorang wargamaya.

“Syahrini kalau jalan-jalan, melangkah je keluar daripada hotel, tak takut ke barang kena curi?” komen seorang wargamaya.

“Allahuakbar, harga bajunya sama harga dengan sebuah keretaku,” kata seorang wargamaya.

“Betul ke harga tu? Kalau jual dua-dua ginjal pun belum tentu boleh dapat sehelai jaket tu!” usik seorang wargamaya lagi.

Sekadar info, Syahrini disatukan bersama suaminya Reino Barack di Masjid Camii, Jepun pada 28 Februaru 2019.