Pagi tadi kita semua dikejutkan dengan pemergian sebutir permata seni tanah air, Allahyarham Dato' Nassier Wahab.

Baca: Datuk Nassier Wahab Meninggal Dunia

Berikut adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak persatuan Seniman melalui Setiausaha Agong, Hafiz Nafiah.

Assalammualaikum Dan Salam Sejahtera

Dukacita dimaklumkan bahawa industri hiburan Negara kehilangan seorang lagi penyanyi hebat era 1980-an serta mempunyai bakat besar dalam bidang muzik tanah air iaitu Dato’ Nassir Wahab pada usia 57 tahun.

Allahyarham Dato’ Nassir Wahab menghembuskan nafas yang terakhir pada jam 12.45 pagi tadi di Hospital Universiti Malaya Specialist Centre Kuala Lumpur, Jenazah beliau akan dibawa kerumahnya di Klang Selangor.

Dato’ Nassir Wahab pernah dicalonkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular (ABPBH) pada tahun 1987 dan 2004. Penyanyi yang seangkatan dengan beliau ialah Shidee, Razis Ismail, Dato’ Jamal Abdillah, Ramlah Ram dan ramai lagi.

Beliau juga memiliki sijil Teori Muzik dan Teknologi daripada Joseph Chamberlain Collage Birmingham United Kingdom. Antara lagu popular yang pernah beliau nyanyikan adalah Memori Cinta Luka, Bayangan Wajah Luka, Sebuah Janji Tak Bereti, Sekali aku Jatuh Cinta dan Undangan Rindu.

Seniman menyifatkan pemergian mengejut Dato’ Nassir Wahab adalah sebagai kehilangan besar pada industri muzik tanah air disebabkan bakat serta kebolehan yang beliau ada amat berharga.

Jenazah arwah Dato’ Nassier Wahab akan dimandikan di Masjid Batu Belah Klang sekitar jam 8.30 pagi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Belah Klang kira-kira jam 9.30 pagi ke 10.00 pagi nanti 5 Disember 2019

Seluruh Kepimpinan Tertinggi dan Exco Seniman Malaysia serta Ahli-Ahli Seniman mengucapkan Salam Takziah kepada keluarga arwah.

Sekali lagi, Al-Fatihah dan salam takziah daripada Gempak buat keluarga dan sahabat handai Allahyarham Dato' Nassier Wahab.