HIBURAN

Ally Mukhriz Throwback Gambar Kahwin, Netizen Mula Buat Perbandingan Dengan Baju Ezlisa Loy - “Kemungkinan Inspirasi…”

Umirah Halim 09/07/2025 | 07:38 MYT
Busana perkahwinan adik kepada pelakon Elfira Loy, iaitu Ezlisa Loy, menjadi topik hangat netizen apabila ada yang mendakwa gaun tradisional songket yang digayakannya menyerupai busana persandingan milik cucu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, iaitu Ally Mukhriz.

Dalam majlis ijabkabul yang berlangsung pada 29 Jun lalu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ezlisa menggayakan busana songket tradisional berwarna biru muda disulam manik merah jambu, rekaan Samm Republic.

Namun, apa yang menarik perhatian ramai apabila Ally Mukhriz dilihat memuat naik semula foto perkahwinannya lima tahun lalu dengan kapsyen berbentuk ‘throwback’ mengenakan busana songket hampir sama, hasil sentuhan pereka fesyen terkenal, Fizi Woo.

Perbandingan dua rekaan itu mencetuskan perdebatan di media sosial, hingga ada yang mendakwa Samm Republic telah meniru hasil kerja Fizi Woo.

“Kenapa baju sama macam Ally Mukhriz?,” soal seorang netizen.

“Kemungkinan dorang ni ada taste dan inspirasi yang sama. Walaubagaimanapun, dua-dua nampak cantik and color matching yang santek!,” tulis yang lain.

Tidak berdiam diri, Ezlisa tampil menjelaskan inspirasi sebenar busananya adalah daripada pereka fesyen antarabangsa terkenal dari Filipina, Michael Cinco.
“Michael Cinco ialah seorang legenda. Saya sentiasa menyukai rekaannya. Dapat menghasilkan busana yang hampir sama dengan rekaannya terutamanya bahagian skirt dengan kombinasi labuci berbentuk bunga, sangatlah cantik Samm Republic.

“Apa-apa pun, tujuan dia nak nampak cantik sahaja. Setiap pengantin nak nampak cantik. Bukan nak masuk pertandingan baju siapa paling cantik dan nombor satu,” tulisnya di Instagram.

Lebih menghangatkan suasana, pereka fesyen Fizi Woo yang bertanggungjawab menghasilkan busana perkahwinan Ally turut meninggalkan komen terhadap hantaran semula yang dimuat naik oleh Ally.

“Masih menjadi rekaan yang paling saya banggakan. Penampilan yang sangat ikonik. Mereka masih cuba untuk menirunya selepas separuh dekad,” tulisnya.

Walaupun Ezlisa sudah memberi penjelasan, perbincangan tentang busana kahwinnya terus menjadi bualan netizen yang masing-masing mempunyai pandangan berbeza.


#Baju #Mukhriz #Dakwaan #Sama #Ezlisa Loy #ally