Hiburan
Along Cham Anggap Masuk Penjara Ibarat 'Cuci' Hati - “Selain Nak Bersihkan Nama, Saya Akan Terbitkan Filem..."
Pelakon dan pelawak, Along Cham menyifatkan sepanjang masa dia berada di Penjara Sungai Buloh sebagai tempoh buatnya untuk muhasabah diri ketika berdepan ujian berat itu.
Jelas Along atau pemilik nama Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, apa yang menjadi keutamaannya kini adalah untuk membersihkan nama selepas terpalit dengan kes dadah.
“Saya anggap apa yang jadi ni sebagai dugaan dan masuk ke penjara adalah ‘dobi’ saya cuci hati saya.
“Saya cuma nak bersihkan nama saya yang telah difitnah,” katanya kepada media.
Along berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas selesai diikat jamin oleh keluarganya di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor pada pagi Isnin.
Pada masa sama, pelakon yang popular dengan filem Adnan Sempit itu juga berkata terdapat segelintir pihak yang sedang bergembira semasa dirinya berada di dalam penjara.
Namun baginya perkara itu tidak melemahkan semangatnya dan menjadikan dia lebih kuat.
“Ramai orang tak tahu, saya masuk penjara sebenarnya ramai orang gembira siap bertepuk tangan.
“Tapi saya akan jadi lebih kuat dan takkan lemah dengan ujian yang sedang saya hadapi,” ujarnya.
Sementara itu, Along juga merancang mahu menerbitkan filem mengenai dirinya tidak lama lagi.
“Selain mahu membersihkan nama, saya akan terbitkan filem selepas ini.
“Cerita itu kisah benar fasal diri saya, sama ada cepat atau lambat nantikan sahaja,” jelasnya.
Pada pagi Isnin, satu daripada dua kes dadah Along diklasifikasi sebagai dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
Bagaimanapun kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Majistret dan Along mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan baharu iaitu dia didakwa miliki ganja serta memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC) ke dalam badan.
Dua kes berkenaan disambung pada 7 April depan bagi serahan dokumen dan laporan kimia.
Sumber: Mstar
FOTO Mohd Fadli Hamzah
Must-Watch Video