HIBURAN

Along Cham Dakwa Afreena Bersekedudukan Dengan Bekas Suami Kedua, Serah Bukti Rakaman Audio

Gempak 03/07/2025 | 08:25 MYT
Pelawak Along Cham menyerahkan bahan bukti berbentuk rakaman suara isterinya, Afreena Suhaimi yang didakwa berlaku curang pada prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada Khamis.


Dakwa Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, selain bersekedudukan di sebuah rumah yang dibeli Afreena, isterinya itu juga sudah merancang untuk kembali berkahwin dengan bekas suami hasil perkahwinan keduanya.


Malah kata Along, cubaan anak-anak untuk memberitahu perkara sebenar gagal kerana sering dihalang Afreena.

“Audio berkenaan adalah rakaman daripada rakan baiknya sendiri tentang kecurangan dia dengan bekas suami dan mereka bersekedudukan di rumah itu.


“Malah dia ada rancangan untuk berkahwin balik dengan bekas suaminya itu selepas mereka pernah bercerai talak tiga sebelum ini.


“Anak ada cuba maklumkan tapi dia ‘potong’ cakap budak-budak merepek. Ini juga menjelaskan perkara itu berlaku pelanggaran taklik kerana curang dan penipuan,” katanya ketika dikandang saksi.


Along memberikan keterangan tersebut di hadapan Hakim Syarie Muhamad Nazri Basrawi di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada Khamis.


Pelawak itu diwakili peguam syarie Muhammad Akmal Amzan, manakala Mohamad Iezwan Ielias pula mewakili Afreena sebagai anak guamnya.


Bagaimanapun Afreena tidak hadir pada prosiding kali ini atas alasan komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan.
Perbicaraan kes pasangan ini akan diteruskan kembali pada 14 dan 18 Ogos depan.


“Dia ada rancangan untuk berkahwin balik dengan bekas suaminya,” kata Along.

Pada petang Selasa, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, tampil di Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengemukakan tiga sebab utama yang menyebabkan lafaz taklik terhadap isterinya jatuh pada Julai 2024 di kediaman mereka di Cyberjaya.


Katanya, Afreena sudah melanggar tiga syarat yang diberikan sejak awal perkahwinan seperti menghubungi bekas isterinya, berlaku curang serta membelakangkannya dalam segala urusan rumah tangga.


Bagaimanapun, Afreena menafikan dirinya berlaku curang serta menganggap ia sekadar tuduhan tidak berasas.
Untuk rekod, Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu.


Ini merupakan perkahwinan ketiga Afreena selepas melalui dua kali kegagalan dalam ikatan suami isteri.
Manakala, Along pernah berkahwin dengan Zila Saeron pada Januari 2010, namun mereka bercerai pada September 2016.


Hasil perkongsian hidup, Along dikurniakan anak lelaki yang kini di bawah jagaannya.


Sumber: Mstar

#Along Cham #Curang #Afreena