HIBURAN

Along Cham Sahkan Lafaz Cerai Secara Taklik Terhadap Afreena 10 Mac

Gempak 28/02/2025 | 09:29 MYT
Pelawak, Along Cham meluahkan rasa syukur selepas Mahkamah Syariah Sepang, mempercepatkan tarikh pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, berkata, mahkamah menetapkan tarikh bagi pengesahan lafaz cerai itu pada 10 Mac ini.

Minta percepatkan kes

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada mahkamah sebab saya minta dipercepatkan kes (pengesahan) ini. Kalau saya yang lafaz cerai itu lain tapi ini melibatkan lafaz taklik.

“Saya tidak berani lengahkan (hal ini) kerana membabitkan hukum agama dan saya sudah bertanya pendapat ahli agama kalau ikut secara rasminya memang dah langgar (jatuh talak),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding sebutan kes berkait dadah yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Sepang bersama ibunya, hari ini.

Dalam pada itu, Along enggan mendedahkan secara terperinci syarat didakwa dilanggar isterinya hingga menfailkan penceraian tersebut.

“Untuk lafaz taklik ini, ibaratnya saya tidak benarkan dia keluar dan ustaz juga ada terangkan kalau suami tidak benarkan keluar rumah tapi dia keluar maka talak pun jatuh.

“Tapi kes ini bukan pasal dia keluar rumah, cuma saya tidak mahu dedahkan nanti netizen kata saya nak buka aib pula. Apa-apa pun saya akan maklumkan kemudian di mahkamah nanti,” ujarnya.

Terdahulu, Along memberitahu, dia sepatutnya sudah menfailkan cerai lafaz taklik pada 16 Disember tahun lalu, namun ditangkap polis akibat memiliki ganja pada 14 Disember.

Menurut pelakon filem Tiada Tajuk, isterinya Afreena sudah melanggar lafaz taklik yang membabitkan tiga perkara itu sepanjang perkahwinan mereka.
Pada 28 Januari lalu, Along hadir ke Mahkamah Syariah Putrajaya bagi memfail dan mengesahkan lafaz cerai taklik terhadap Afreena yang didakwa sudah melanggarnya.
Bagaimanapun, urusan berkenaan tidak dapat dibuat apabila Along dimaklumkan perlu menguruskannya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang kerana mengikut alamat kediaman.
Pada 10 Februari Along menfailkan permohonan lafaz cerai taklik ke atas isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang sebagaimana mengikut alamat kediamannya.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu, perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah penjagaannya.
Sumber: MalaysiaGazette

#cerai #Along Cham #Isteri #Mahkamah #Lafaz #Taklik #Afreena