Hiburan
Along Cham Titip Pesanan Buat Isteri, Harap Kuat Hadapi Dugaan - "Siapa Cakap Saya Tak Down?"
Pelawak Along Cham sempat menitipkan pesanan kepada isterinya, Afreena Suhaimi supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku ke atasnya jika disabitkan hukuman.
Kali terakhir berjumpa pada Isnin lalu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang sebelum suaminya dibawa ke Penjara Sungai Buloh, Afreena berkata Along turut mengharapkan agar isterinya itu kuat menghadapi dugaan yang ditempuhi.
BERITA BERKAITAN: "Tak Kisah Apa Orang Cakap, Saya Akan Sentiasa Berada Di Sisi" - Isteri Along Cham
BERITA BERKAITAN: Dah Terlalu Penat, Isteri Along Cham Anggap Allah Beri Ujian Terbesar - “Saya Janji Pada Awak, Kita Akan…”
"Dia (suami) ada pesan supaya reda dan bersedia untuk hadapi tempoh lagi lima tahun. Along berkali-kali mohon maaf pada saya.
"Selain itu dia (suami) sempat pesan agar jaga semua anak-anak dengan baik tanpa dia disisi.
"Isteri mana yang tak sedih bila orang yang kita sayang dalam keadaan begitu tinggalkan pesan yang sama berkali-kali," katanya kepada Gempak.
Afreena yang dilihat sedih berkata, dia kini terpaksa kuatkan semangat untuk bekerja tanpa bantuan dan kehadiran suaminya disisi.
"Siapa cakap saya tak down? Tetapi saya tak boleh terus bersedih. Saya perlu kerja cari rezeki untuk diri dan anak-anak.
"Kalau saya terus bersedih bagaimana saya nak teruskan hidup," katanya.
Along didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan sebat maksimum 10 sebatan.
Sebelum ini, Along Cham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan memiliki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 58.23 gram.
Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.
Hakim sebelum ini tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan prosiding serahan laporan kimia pada 27 Januari tahun depan.
Along didakwa ada dalam milikannya, bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya pada jam 3.10 petang, 14 Disember lalu.
Dalam serbuan berkenaan, polis turut menemukan dua peket plastik berisi daun kering disyaki ganja seberat 60.3 gram dan selebriti itu juga disahkan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).