Selepas mengukir kejayaan menerusi konsert terakhir beliau iaitu The Last Altimet Show yang dihadiri lebih dari 4,000 penonton pada Februari lalu, penyanyi rap terkenal tempatan, Altimet muncul dengan single terbaru duet bersama penyanyi sensasi Zizi Kirana yang berjudul Pendekar Pena.

Pendekar Pena merupakan single kedua yang dilancarkan Altimet untuk album terakhir beliau O yang telah dipasarkan sejak Disember tahun lalu.

Antara komposer yang terlibat di sebalik pembikinan lagu ini ialah DJ Biggie, Faliq Auri, Kidd Santhe, Adeep dan Altimet sendiri.

Berbicara mengenai kisah di sebalik lagu ini yang mempunyai maksud dan bahasa yang mendalam, kata Altimet, lagu ini adalah berkisarkan tentang seorang rapper.

"Lagu Pendekar Pena mengisahkan tentang seseorang yang suka menunjuk kemampuan yang ada pada diri mereka. Rapper biasanya akan bercakap tentang betapa bagusnya diri mereka ketika menyanyikan bait-bait kata lirik lagu rap.

"Jadi, ia merupakan satu kemestian bagi saya untuk menghasilkan lagu ini. Tetapi saya lakukan dalam prosa Melayu klasik sebagai twist," kata Altimet.

Pemilihan penyanyi dan rapper sensasi, Zizi Kirana sebagai rakan duet pula adalah kerana dia sudah lama mengenali penyanyi itu.

"Zizi dapat menyanyikan lagu asli dengan baik. Pada masa yang sama dia juga turut dikenali sebagai seorang rapper wanita. Jadi pada saya Zizi merupakan pilhan yang paling ideal untuk kolaborasi ini," ujarnya.

Manakala video lirik rasmi Pendekar Pena yang membawa konsep klasik dan menggunakan font klasik ini arahan Abidin Azizi dan Hafiz Mohtar daripada Schizomotion Media and Art dan terbitan oleh Warner Music Malaysia.


Single Pendekar Pena merupakan terbitan Altimet Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 21 Disember 2018 manakala video lirik rasmi Pendekar Pena boleh ditonton dia Youtube Warner Music Malaysia.

Sebarang maklumat lanjut sila layari www.altimet.com.my